amree02/11/2026 - 11:00 PANORAMA dari udara suasana sistem parkir berbumbung solar yang sudah siap dibina di Kompleks PETRONAS Pantai Timur (PECC), Kerteh, Terengganu. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Nov — Sebanyak 2,500 tan pelepasan karbon dioksida setara (tCO₂e) dijangka dapat dikurangkan setiap tahun menerusi sistem parkir berbumbung solar berkapasiti 2.79 megawatt (MW) yang dibangunkan Gentari di Kompleks PETRONAS Pantai Timur (PECC), Kerteh, Terengganu.
Projek yang dilaksanakan dalam lima fasa itu sudah siap dibina di kawasan kompleks seluas 56,361 meter persegi, sekali gus menjadikan kemudahan tempat letak kereta sedia ada sebagai aset penjanaan tenaga boleh diperbaharui (RE) bagi menyokong usaha penyahkarbonan operasi PETRONAS.
Syarikat tersebut menerusi Gentari Renewables Sdn Bhd dalam kenyataan berkata, sistem solar berkenaan dijangka menjana kira-kira 3.5 juta kilowatt jam (kWh) tenaga elektrik bersih setiap tahun.
"Tenaga yang dijana akan digunakan bagi memenuhi keperluan operasi PECC, manakala lebihan bekalan elektrik disalurkan ke grid nasional menerusi skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) Malaysia," kata Gentari.

Jelasnya, projek itu dilaksanakan menerusi Perjanjian Pembelian Tenaga Solar (PPA) antara Gentari dengan Rantau Properties Sdn Bhd, anak syarikat KLCC (Holdings) Sdn Bhd yang memiliki tanah dan premis PECC tersebut.
Di bawah perjanjian berkenaan, Gentari bertanggungjawab membangunkan serta mengendalikan sistem solar itu, manakala Rantau Properties menyediakan tapak pemasangan dan membeli tenaga elektrik yang dijana.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan dan Ketua Gentari bagi Malaysia, Shah Yang Razalli berkata, penggunaan RE di premis sedia ada menawarkan rumusan praktikal kepada organisasi yang mahu meningkatkan daya saing kos serta mencapai sasaran penyahkarbonan.
"Projek ini membuktikan infrastruktur sedia ada boleh dimanfaatkan sebagai aset penjanaan tenaga yang membantu meningkatkan daya tahan operasi, menjadikan kos tenaga lebih mudah dijangka dan mengurangkan pelepasan karbon," ujarnya.

Projek yang dimulakan pada 2024 itu turut dilaksanakan dengan kerjasama syarikat tenaga boleh baharu tempatan, Gading Kencana Sdn Bhd, sekali gus memperkukuh penglibatan pemain industri tempatan dalam pembangunan projek tenaga bersih berskala komersial.
PECC merupakan hab pentadbiran dan operasi utama PETRONAS yang menyelaras pelbagai inisiatif tenaga huluan, hiliran dan serantau di sepanjang Pantai Timur Semenanjung Malaysia, selain menempatkan bangunan pejabat serta kemudahan sokongan dengan lebih 1,400 petak parkir.
Gentari yang merupakan sebahagian daripada Kumpulan PETRONAS berkata, projek berkenaan mencerminkan usaha berterusannya memperluas rumusan RE bagi membantu organisasi mengoptimumkan penggunaan tenaga, memperkukuh kecekapan operasi dan menyokong agenda peralihan tenaga negara. - DagangNews.com





