liza16/10/2026 - 14:23 Dari kiri: Pengarah AIB Associates Architects Sdn Bhd, Tay Vi Mike: Presiden Huawei Infrastructure Cloud Systems, Hu Zhendon dan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Genting Plantations Berhad, Datuk Indera Lim Keong Hui Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Okt – Genting Property Sdn Bhd menjalin kerjasama strategik dengan Huawei bagi merancang pembangunan Johor Tech Smart City (JTSC), termasuk kawasan teknologi pintar seluas 174 hektar (430 ekar) yang dikenali sebagai Smart Campus.
Kerjasama itu dimeterai menerusi perjanjian perancangan induk (Master Planning Agreement) antara Genting Property, bahagian hartanah Genting Plantations Berhad dengan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd di Pusat Seni Antarabangsa Longgang Shenzhen, China.
Perjanjian berkenaan bertujuan membawa pembangunan JTSC daripada peringkat konsep kepada pelaksanaan menerusi penggunaan keupayaan kecerdasan buatan (AI), kepakaran teknologi global dan pengalaman Huawei dalam pembangunan kampus pintar.
Kerjasama itu menandakan perkongsian kampus pintar antarabangsa pertama Huawei serta penggunaan keupayaan perancangan induk berasaskan AI syarikat teknologi itu di luar China.
Huawei akan menyumbangkan kepakaran dalam pembangunan kampus pintar dan teknologi termaju bagi memastikan perancangan JTSC mengambil kira amalan antarabangsa, berdasarkan pengalamannya membangunkan kampus pintar berskala besar di Shanghai dan Dongguan, China.
Kerjasama berpotensi diperluas kepada operasi Genting Plantations
Selain perancangan JTSC, kerjasama itu turut membuka ruang kepada transformasi digital yang lebih meluas dalam kumpulan Genting Plantations.
Menurut kenyataan itu, potensi kerjasama merangkumi penggunaan teknologi pintar dalam operasi pertanian, pengurusan tenaga mampan serta pembangunan infrastruktur korporat berasaskan data.
Ketua Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Genting Plantations, Datuk Indera Lim Keong Hui berkata, kerjasama itu mencerminkan usaha syarikat membangunkan JTSC sebagai destinasi inovasi global yang mampu membuka peluang kepada tenaga kerja tempatan dan menarik pelaburan berkualiti tinggi.
Beliau berkata, pembangunan Smart Campus akan menjadi teras kepada JTSC dalam menghubungkan inovasi global dengan peluang ekonomi tempatan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perniagaan Perusahaan Huawei Malaysia, Du Xianjun berkata Genting Property ialah rakan kongsi kampus pintar antarabangsa pertama Huawei bagi model pembangunan berkenaan.
Menurutnya, Smart Campus di JTSC berpotensi menjadi model rujukan bagi pembangunan dan pengurusan ekosistem pintar pada masa hadapan.
Sasar tarik pelaburan teknologi ke Johor
Genting Property dan Huawei menjangkakan pembangunan JTSC dapat menyokong pertumbuhan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) menerusi pembentukan hab teknologi yang mampu menarik syarikat multinasional serta pemain inovasi antarabangsa.
Pembangunan itu turut dirancang bagi menyediakan persekitaran yang membolehkan syarikat mengembangkan keupayaan pembuatan termaju dan operasi pengeluaran di lokasi berkenaan.
Selain menarik pelaburan, ekosistem teknologi itu dijangka menggalakkan perkongsian pengetahuan serta meningkatkan standard industri tempatan.
Kerjasama tersebut turut bertujuan mempamerkan keupayaan Malaysia dalam menempatkan infrastruktur digital generasi baharu mengikut piawaian antarabangsa. - DagangNews.com


