George Kent catat rugi bersih RM25.78 juta pada FY2024, pendapatan susut separuh

Business & Finance
31 May 2024 • 5:49 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

George Kent catat rugi bersih RM25.78 juta pada FY2024, pendapatan susut separuh

herman

31/05/2024 - 17:49

KUALA LUMPUR 31 Mei - George Kent (Malaysia) Berhad mencatatkan rugi bersih sebanyak RM25.78 juta bagi tahun kewangan 2024 (FY24), berbanding keuntungan RM715,000 setahun sebelumnya.

Tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 itu menyaksikan syarikat kejuruteraan, meter dan produk kerja raya air itu meraih pendapatan berjumlah RM134.44 juta, berkurang kira-kira separuh daripada yang diperoleh pada FY23 yang sebanyak RM247.04 juta.

Bagi 4QFY24, pendapatan kumpulan itu berjumlah RM30.66 juta dan rugi bersih RM28.59 juta.

Dalam kenyataan medianya, George Kent berkata, keputusan tersebut berlaku disebabkan penyusutan aset tetap kumpulan yang memberi kesan kepada perkongsian hasil syarikat bersekutu dan penyusutan pelaburan dalam sebuah syarikat bersekutu.

"Penyesuaian tuntutan kerja variasi disebabkan oleh pertikaian yang berlarutan dan kos tambahan yang tidak dijangka yang ditanggung bagi projek yang sama yang memberi kesan kepada bahagian Kejuruteraan.

"Selain itu, bahagian ini terjejas apabila kontrak baru yang dirancang ditangguhkan dan tidak diperoleh," katanya.

Perniagaan teras Kumpulan dalam perniagaan meter terus memberikan keuntungan pada FY24 sebanyak RM20.43 juta.

Untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham, George Kent berkata, Lembaga Pengarah telah mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 0.75 sen setiap saham bagi FY24, yang akan dibayar pada 11 Julai 2024 kepada pemegang saham yang nama mereka terdapat dalam Rekod Pemegang Saham pada 20 Jun 2024, sebagai Tarikh Penutup Buku (BCD).

"Lembaga Pengarah mengumumkan dividen interim pertama sebanyak 0.75 sen setiap saham (FY2023: 1.00 sen setiap saham) pada 18 Disember 2023 yang dibayar pada 8 Januari 2024 yang berjumlah RM3.91 juta untuk 521,759,065 saham (FY2023: RM5.22 juta untuk 521,959,065 saham).

"Dalam nilai Ringgit, kedua-dua dividen interim tersebut akan berjumlah RM7.82 juta (FY2022: RM10.44 juta) bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2024," katanya. - DagangNews.com