Gerai MDR Kundasang dinaik taraf, kemudahan peniaga dipertingkat

LocalBusiness & Finance
6 Aug 2026 • 4:54 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Gerai MDR Kundasang dinaik taraf, kemudahan peniaga dipertingkat

RANAU: Projek menaik taraf gerai milik Majlis Daerah Ranau (MDR) di belakang gelanggang futsal Kundasang telah siap sepenuhnya sekali gus menjadi langkah terbaharu dalam usaha meningkatkan kemudahan bagi peniaga tempatan selain pembinaan gerai baharu di tepi jalan yang sedang dirancang.

Pegawai Daerah Ranau Tinus Saiman berkata projek berkenaan mencerminkan komitmen berterusan majlis dalam menyediakan persekitaran yang lebih selesa, tersusun dan kondusif kepada peniaga serta pengunjung.

“Kerja-kerja naik taraf ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk meningkatkan kemudahan awam secara berperingkat demi kesejahteraan masyarakat.

“Kami akan terus melaksanakan kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan bagi memastikan kemudahan yang lebih baik dapat dinikmati orang ramai,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Menurutnya MDR turut menyelia pembinaan gerai baharu di tepi jalan menerusi peruntukan daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop).

Katanya projek itu adalah sebahagian daripada inisiatif Kuskop untuk memperkukuh sektor perusahaan mikro dan kecil dengan menyediakan premis perniagaan yang lebih tersusun, selamat dan kondusif kepada usahawan tempatan.

“Kemudahan yang dipertingkatkan ini dijangka mampu memperbaiki persekitaran perniagaan, meningkatkan pengalaman pelanggan serta menyokong pertumbuhan pendapatan mampan khususnya di hab pelancongan Kundasang.

“Projek pembinaan gerai tepi jalan itu dilaksanakan selepas peniaga sayur-sayuran dipindahkan dari tapak sedia ada ke kawasan perniagaan sementara bagi memberi laluan kepada kerja pembinaan.

“Apabila siap kelak gerai baharu itu dijangka menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih selamat, tersusun dan menarik untuk peniaga serta pengunjung,” ujarnya.

Mengulas mengenai kiosk terbiar yang ditempatkan di belakang gelanggang futsal Kundasang, Tinus menjelaskan bahawa unit berkenaan ditolak oleh majlis kerana tidak memenuhi spesifikasi pembinaan yang ditetapkan.

Beliau berkata MDR tidak menerima beberapa kiosk terbabit kerana mutunya tidak menepati piawaian yang ditetapkan.

Menurutnya kiosk yang ditolak itu ditempatkan sementara di belakang gelanggang futsal sementara menunggu tindakan lanjut. Ia sepatutnya dipulangkan, namun sehingga kini masih belum diambil semula, sekali gus menyebabkan ia menjadi sasaran vandalisme.

Sementara itu beliau memaklumkan kiosk yang memenuhi spesifikasi telah diterima oleh majlis dan diagihkan untuk digunakan di pekan Kundasang dan Ranau.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved