TUMPAT – Pertubuhan Pemikir Azam Kelantan (Azam Kelantan) mempersoalkan kewujudan serta pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) gerai jualan mercun di bawah seliaan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) susulan kebakaran yang berlaku di Wakaf Che Yeh di sini Selasa lalu.
Koordinator Azam Kelantan, Nizam Muhamad berkata, insiden tersebut bukan sekadar kejadian terpencil, sebaliknya membuka persoalan lebih besar berkaitan tahap keselamatan dan pemantauan premis melibatkan bahan mudah terbakar.
Menurut beliau, hasil tinjauan mendapati gerai mercun berkenaan beroperasi berhampiran premis makanan yang menggunakan peralatan memasak termasuk gas dapur sekali gus menimbulkan risiko keselamatan kepada orang awam.
“Persoalan yang timbul adalah bagaimana gerai menjual mercun boleh dibenarkan beroperasi berhampiran sumber api.
“Ini bukan sahaja melibatkan aspek kelulusan lesen tetapi juga pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya pada sidang akhbar di Pasir Pekan di sini pada Ahad.
Dalam kejadian lepas, hasil siasatan forensik bomba, pihak polis mengesahkan kejadian dipercayai berpunca akibat litar pintas daripada sambungan wayar lampu hiasan warna-warni.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak menemui sebarang dokumen SOP berkaitan operasi gerai mercun yang dipaparkan secara terbuka oleh MPKB-BRI sama ada secara fizikal atau dalam talian.
Sehubungan itu, Azam Kelantan menggesa pihak MPKB-BRI tampil memberikan penjelasan berhubung garis panduan yang diguna pakai serta bagaimana premis seumpama itu boleh diluluskan untuk beroperasi.
“Penjelasan ini penting bagi memulihkan keyakinan orang ramai, selain memastikan aspek keselamatan tidak dipandang ringan, terutama apabila melibatkan bahan berisiko tinggi seperti mercun.
“Kami juga mahu jaminan bahawa langkah penambahbaikan akan dilaksanakan supaya insiden sama tidak berulang pada masa hadapan,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau turut menggesa kerajaan negeri melalui portfolio Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan mempertimbangkan penyelarasan SOP melibatkan operasi gerai bermusim agar standard keselamatan lebih jelas dan seragam di seluruh negeri.

