Gerakan Kultus Korea Sedang Aktif Di Malaysia, Mufti Perlis Percaya PDRM Ada Maklumat

LocalPolitics
15 Dec 2025 • 12:39 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin percaya Cawangan Khas Bukit Aman mempunyai maklumat berhubung dakwaan kewujudan gerakan kultus menyimpang berasal dari Korea Selatan yang sedang aktif di Malaysia.

Dalam satu hantaran di Facebook, Mufti Perlis yang turut mesra disapa Dr Maza menjelaskan beliau tidak memberi respon balas kepada gesaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk menyerahkan maklumat kerana sedang memberi tumpuan kepada beberapa isu lain.

“Sejak kenyataan YB Menteri terbabit, banyak media dalam dan luar negara mengeluarkan berita mengenainya. Banyak juga wartawan bertanya, namun saya tidak memberikan respon balas kerana menimbang beberapa isu lain yang sedang saya beri perhatian.

“Di samping itu, saya percaya pihak Cawangan Khas Bukit Aman tentu mempunyai maklumat mengenai hal ini. Team penyelidik yang membentangkan kepada Jawatankuasa Fatwa Perlis juga menyiapkan buku bersama dengan bahan-bahan yang terkumpul,” katanya.

Dr Maza tiada masalah wujud pelbagai pegangan dalam masyarakat

Mengulas isu kepelbagaian aliran dan agama, Dr Maza menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang masalah terhadap kewujudan pelbagai pegangan dalam masyarakat.

“Kepelbagaian atau kerencaman cara fikir, kefahaman dan kepercayaan adalah satu realiti yang tidak boleh dinafikan dalam kehidupan manusia di dunia ini.

“Namun begitu, mengiktiraf kepelbagaian tidak semestinya bermaksud kita mengiktiraf kebenaran yang terkandung dalam kepelbagaian itu.

“Walaupun begitu, setiap pihak yang aman, menyakiti atau berpotensi besar mengancam pihak lain boleh hidup bersama dan kita tidak membantah hak untuk wujud bersama, sekali pun mungkin kita tidak mengiktiraf dari segi akidah isi kandungan kepercayaan terbabit,” katanya.

Apa itu gerakan kultus? ini penjelasan Dr Maza

Pada masa sama, beliau turut menjelaskan bahawa ajaran berteraskan kultus merujuk kepada pegangan melampau terhadap tokoh tertentu sehingga menolak akal dan pertimbangan rasional.

“Ajaran kultus biasanya dibina atas ketaatan melampau kepada tokoh sehingga segala perbuatannya tidak boleh dipersoalkan walaupun jelas bertentangan dengan akal, dalil dan fakta.

“Tokoh yang mengkultuskan diri sering mengemukakan dakwaan luar biasa berkaitan unsur ketuhanan atau kehebatan rohani, termasuk mendakwa mendapat perlantikan Ilahi, memiliki keajaiban atau menerima pengiktirafan ghaib yang sukar dibuktikan,” katanya.

Gerakan kultus boleh lahirkan pengikut fanatik dan ancam keselamatan awam

Menurut beliau, ajaran seperti ini boleh melahirkan pengikut fanatik dan berpotensi mengancam keselamatan awam.

“Hal ini perlu dipantau oleh pihak berkuasa supaya tidak sampai ke tahap di luar kawalan dan mengakibatkan kemudaratan kepada masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis bersama pasukan penyelidik telah mengumpulkan bahan serta menyediakan kajian berkaitan sebagai langkah pencegahan dan panduan.

Selain itu, beliau turut meminta kerajaan memberi perhatian serius termasuk aspek pemantauan dan siasatan bagi memastikan keamanan serta keharmonian negara terus terpelihara.

Sebelum ini, Saifuddin dilaporkan menggesa Dr Maza menyerahkan maklumat berkaitan dakwaan gerakan kultus yang menggunakan nama ‘Jesus’ dan membawa ajaran menyimpang, yang juga tidak diiktiraf oleh aliran Kristian arus perdana.

Ini selepas beliau membuat satu pendedahan di Facebook mendakwa terdapat Ahli Parlimen beragama Islam dan individu penting di Parlimen yang aktif membantu gerakan kultus.

Tokoh tempatan didakwa terlibat gerakan kultus Korea – Saifuddin

Memetik laporan Sinar Harian, Saifuddin turut mengesahkan terdapat kegiatan dan penglibatan tokoh tempatan yang didakwa terbabit dalam gerakan berkenaan.

Jelasnya, polis telah menyalurkan maklumat berkaitan perkara itu kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Saya telah diberi taklimat oleh pihak Cawangan Khas PDRM tentang, pertama, pertubuhan itu, corak kegiatannya, penglibatan tokoh tempatan dan sebagainya.

“Jadi, fakta nombor satu adalah sememangnya ia berada dalam radar pasukan keselamatan kita,” ujar Saifuddin.

View Original Article