
BELGRADE: Presiden Serbia, Aleksandar Vucic kelmarin mengakui kekalahan dalam pilihan raya bersejarah negara itu yang menyaksikan gerakan pimpinan pelajar menewaskan parti pemerintah selepas dua tahun mengadakan protes terhadap pentadbirannya.
Keputusan awal menunjukkan gerakan pelajar itu berpotensi memperoleh majoriti dalam Parlimen yang mempunyai 250 kerusi, sekali gus mencetuskan perubahan besar dalam landskap politik negara berkenaan.
Vucic yang semakin dikritik kerana pendekatan pemerintahannya yang autoritarian, berkata, keputusan awal berdasarkan sampel undi menunjukkan partinya tewas kepada gerakan dikenali sebagai Senarai Pelajar.
“Jelas bahawa kita kalah dalam pilihan raya ini, manakala Senarai Pelajar menang.
“Mereka akan memperoleh antara 135 hingga 140 kerusi, sementara kita akan mendapat 105 kerusi,” katanya kepada penyokong di ibu pejabat partinya di Belgrade.
Sampel perwakilan oleh badan tinjauan CeSID-IPSPS menunjukkan Senarai Pelajar dijangka memperoleh 138 kerusi, manakala Parti Progresif Serbia (SNS) pimpinan Vucic yang berhaluan kanan meraih 104 kerusi.
Menurut badan tinjauan undi itu, baki kerusi dijangka dimenangi oleh parti-parti yang mewakili kaum minoriti.”
Berita mengenai berakhirnya pemerintahan Vucic selama 12 tahun mencetuskan sambutan kegembiraan di jalanan Belgrade dan beberapa bandar lain.
“Perasaan ini seperti malam sambutan Tahun Baharu bagi saya. Malah, seperti menyambut tiga kali Tahun Baharu serentak. Kami akhirnya boleh menarik nafas lega,” kata Ivana, 43.
Sementara itu, di ibu pejabat Senarai Pelajar, penyokong melaungkan ‘Kemenangan, kemenangan!’ sambil bertepuk tangan, menangis dan berpelukan sesama sendiri.
Kadar keluar mengundi yang tinggi dan kehadiran kira-kira 150,000 orang pada perhimpunan terakhir gerakan pelajar di Belgrade minggu lalu mencetuskan jangkaan bahawa gerakan itu mendapat sokongan rakyat yang cukup untuk membawa perubahan besar dalam politik Serbia.
Keputusan pilihan raya itu mendapat perhatian dunia kerana berlangsung dalam tempoh 10 hari yang menyaksikan beberapa pilihan raya penting di seluruh dunia, dengan parti berhaluan kanan autoritarian berdepan kumpulan yang memperjuangkan demokrasi.
Kemenangan gerakan pimpinan pelajar di Serbia juga dijangka memberi kesan kepada perkembangan politik di Eropah, sekali gus menguatkan gerakan bantahan golongan muda dan pelajar yang melanda beberapa bandar di benua Eropah. – AGENSI
The post Gerakan pelajar tumbangkan Presiden Serbia appeared first on Utusan Malaysia.
