Geram Jalan Tak Siap-Siap, Penduduk Nekad Tanam Padi Sebagai Tanda Protes

6 Aug 2026 • 12:53 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Geram Jalan Tak Siap-Siap, Penduduk Nekad Tanam Padi Sebagai Tanda Protes

Geram Jalan Tak Siap-Siap, Penduduk Nekad Tanam Padi Sebagai Tanda Protes

Jalan raya merupakan antara infrastruktur penting yang perlu sentiasa dijaga dan diselenggara dengan baik kerana menjadi kemudahan utama kepada orang ramai.

Namun, ada kalanya penduduk terpaksa melakukan protes terlebih dahulu sebelum pihak berwajib mengambil tindakan.

Seperti yang berlaku di Sreepur, Bangladesh apabila penduduk menanam anak padi di atas jalan yang belum siap sebagai tanda protes terhadap penangguhan berpanjangan projek tersebut.

Menurut laporan Dhaka Tribune, kontraktor projek terbabit didakwa meninggalkan kerja tersebut hampir dua tahun lalu.

Protes itu diadakan pada Isnin di sepanjang dua kilometer Jalan Nayanpur-Barmi yang masih belum disiapkan, sekali gus menyebabkan ribuan pengguna berdepan kesukaran.

Jalan sepanjang enam kilometer itu menghubungkan penduduk di mukim Gafargaon dan South Gafargaon, Mymensingh dengan kawasan Kawraid, Barmi dan Telihati di Sreepur.

Menurut penduduk tempatan, keadaan jalan yang rosak telah mengganggu pergerakan pekerja industri, pelajar dan penduduk di kawasan berkenaan.

Jabatan Kejuruteraan Kerajaan Tempatan (LGED) menganugerahkan kontrak menaik taraf jalan itu kepada sebuah syarikat menerusi Projek Penyelenggaraan GOB-3 bagi tahun 2024-2025.

Projek yang dibiayai menerusi peruntukan hasil kerajaan itu dianggarkan menelan belanja sebanyak Tk4.09 crore.

Baca juga:

Kerja pembaikan yang bermula pada pertengahan 2024 itu melibatkan laluan dari Pasar Nayanpur hingga ke CCDB Mor.

Bagaimanapun, selepas jalan tersebut dikorek dan serpihan batu bata diletakkan, kontraktor dilaporkan menghentikan kerja serta tidak lagi kelihatan di tapak projek.

Tinjauan di kawasan berkenaan mendapati banyak lubang terbentuk selepas serpihan batu bata dihanyutkan air dari semasa ke semasa.

Air hujan turut bertakung di beberapa bahagian, menjadikan jalan itu berbahaya kepada kenderaan dan pejalan kaki.

Peniaga tempatan, Rakib Mia, Sultan Uddin dan Mostafa Kamal berkata, jalan berkenaan hampir tidak boleh digunakan setiap kali selepas hujan.

Image from: Geram Jalan Tak Siap-Siap, Penduduk Nekad Tanam Padi Sebagai Tanda Protes

“Selepas hujan, sukar untuk membezakan antara jalan dan lubang. Orang ramai terjatuh, kenderaan tersangkut dan perniagaan turut terjejas,” kata mereka.

Pemandu beca automatik, Sumon Mia berkata, dia tidak dapat menggunakan laluan berkenaan sejak hampir dua tahun lalu, menyebabkan pendapatannya merosot dengan ketara.

“Beberapa minggu lalu, ada pekerja dilihat di tapak projek, tetapi sekarang semua kerja sudah terhenti. Tiada seorang pun wakil kontraktor dapat ditemui di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, doktor tempatan, Shamsul Islam Tarek berkata, penduduk pada awalnya menyambut baik projek pembaikan tersebut, namun kini berdepan kesukaran yang lebih besar.

“Sebelum kerja pembaikan dimulakan, kami masih boleh menggunakan jalan ini. Sekarang, perjalanan menjadi sangat sukar.

“Kami menggesa pihak pentadbiran mengambil tindakan segera untuk menyiapkan kerja tersebut,” katanya.

Jurutera Sreepur, Touhid Hasan berkata pihak berkuasa sudah beberapa kali mengarahkan kontraktor menyambung semula kerja, namun tidak menerima sebarang maklum balas.

“Dengan mengambil kira kesulitan yang dialami orang ramai, kami telah memaklumkan kepada pihak atasan mengenai cadangan mengenakan penalti serta membatalkan arahan kerja.

“Proses tender baharu akan dimulakan tidak lama lagi,” katanya.

Beliau menyalahkan kecuaian kontraktor sebagai punca kelewatan itu dan berkata projek berkenaan akan disiapkan selepas kontrak sedia ada dibatalkan serta kontraktor baharu dilantik menerusi proses tender.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved