Geran khas untuk Sabah mungkin ditambah

LocalPolitics
4 May 2026 • 4:48 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Geran khas untuk Sabah mungkin ditambah

Kota Kinabalu: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud (gambar) memberi bayangan bahawa Sabah mungkin menerima peruntukan geran khas yang lebih tinggi dalam Belanjawan 2027 pada Oktober ini.

Ini walaupun rundingan mengenai hak 40 peratus hasil negeri itu masih belum dimuktamadkan.

Bagaimanapun, Mustapha berkata pertimbangan itu bergantung kepada kedudukan ekonomi negara pada ketika itu. Sabah sepatutnya menerima RM600 juta di bawah belanjawan negara tahun lalu sebagai bayaran interim sementara isu terbabit diselesaikan secara baik.

“Jika keadaan ekonomi mengizinkan, saya percaya tiada masalah untuk meningkatkan Geran Khas bagi Sabah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sumbangan Haji kepada 55 jemaah dari kawasan Parlimen Sepanggar, Ahad.

Mengenai isu 40 peratus yang dibangkitkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah yang baru berakhir, beliau berkata kerajaan Persekutuan telah mengambil maklum dan sedang mengkaji perkara itu.

Mustapha berkata beliau sendiri telah membincangkan tuntutan hak 40 peratus hasil dengan Perdana Menteri, yang turut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet minggu lalu.

“Kabinet akan membuat keputusan mengenai perkara ini,” katanya.

Dalam persidangan Dewan Undangan Negeri, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun menyatakan bahawa bayaran interim dari Putrajaya sejak 2022 adalah tanpa prejudis terhadap tuntutan Sabah bagi formula asal 40 peratus.

Masidi memberitahu Dewan bahawa kerajaan negeri juga telah menghantar surat kepada kerajaan Persekutuan bagi memohon pembayaran pulangan hasil bagi tahun 2025, yang dianggarkan berjumlah RM3.019 bilion berdasarkan kutipan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kastam bagi tahun terbabit.

Beliau berkata angka hasil daripada LHDN dan Kastam itu tidak dipertikaikan kerana ia tersedia secara umum, namun pihaknya masih mengesahkan sumber hasil tidak langsung yang lain.

Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri kekal komited untuk meneruskan perundingan antara kerajaan dengan kerajaan berhubung tuntutan berkenaan.