Gesa pinda semula RUU Pengangkutan Jalan, wajibkan pemandu mabuk bayar ganti rugi - Zahari

LocalPolitics
23 Jun 2026 • 6:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Gesa pinda semula RUU Pengangkutan Jalan, wajibkan pemandu mabuk bayar ganti rugi - Zahari
Zahari berkata, usaha itu penting bagi memberi keadilan kepada mangsa yang cedera atau maut akibat kesalahan pihak lain.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa meminda semula Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 dengan memasukkan peruntukan mewajibkan pesalah memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah membayar ganti rugi kepada mangsa yang terlibat dalam kemalangan.

Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik berkata, usaha itu penting bagi memberi keadilan kepada mangsa yang cedera atau maut akibat kesalahan pihak lain.

Beliau dalam masa sama menyatakan kekesalan apabila peruntukan terhadap kesalahan serius itu tidak disentuh dalam RUU berkenaan.

“Yang Berhormat Menteri Pengangkutan (Anthony Loke) sendiri seperti dilaporkan dalam akhbar Sinar Harian bertarikh 30 Mac 2026 berkata, Kementerian Pengangkutan (MoT) bercadang meminda akta mewajibkan pesalah di bawah pengaruh alkohol membayar ganti rugi.

“Itu janji Menteri semasa sidang akhbar tapi malangnya kenapa dan Jeli tidak faham di dewan yang mulia ini cadangan ini tidak dibawa, tidak dinyatakan dan tidak disentuh langsung tentang peruntukan yang telah dinyatakan,” katanya ketika sesi perbahasan RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Anthony pada Isnin membentangkan RUU berkenaan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat yang bertujuan bagi memperkukuh kuasa pengawalseliaan dan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Mengulas lanjut, Zahari berkata, sebanyak 238 pertuduhan terhadap pemandu mabuk direkodkan menerusi 225 operasi yang dijalankan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Mac 2026 jelas memerlukan perhatian serius.

Katanya, kemalangan maut akibat pemandu mabuk turut menunjukkan trend yang membimbangkan dengan 24 kes direkodkan pada 2022, menurun kepada 13 kes pada 2023 sebelum meningkat kepada 27 kes pada 2024 dan 31 kes pada tahun lalu.

“Data ini menunjukkan peningkatan kes kematian akibat pemandu mabuk. Justeru, hukuman yang lebih tegas dan berkesan perlu dikenakan bagi memberi pengajaran kepada pesalah serta menjadi peringatan kepada masyarakat,” katanya.

Menurut beliau, kegagalan kerajaan menangani isu pemandu mabuk secara menyeluruh boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan dan mencetuskan krisis keselamatan jalan raya.

“Pengguna jalan raya akan berasa tidak selamat, termasuk pejalan kaki yang mematuhi semua peraturan tetapi masih berisiko menjadi mangsa kecuaian pihak lain,” katanya.

Dalam pada itu, Zahari menegaskan bahawa hukuman berbentuk penalti semata-mata tidak mencukupi sekiranya sikap dan kesedaran masyarakat tidak berubah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved