
Kota Kinabalu: Syarikat penerbangan milik kerajaan negeri, Sabah Air disaran terus menerokai pasaran khusus serta mengamalkan perancangan strategik teliti sempena sambutan ulang tahun ke-50 penubuhannya.
Menteri Kewangan Negeri Datuk Seri Masidi Manjun berkata Sabah Air perlu memberi fokus kepada matlamat yang realistik dan boleh dicapai termasuk perkhidmatan tertentu seperti penerbangan serantau, sewaan khas serta sumber pendapatan lain yang dapat memanfaatkan kelebihan unik syarikat tersebut.
“Sabah Air harus memahami apa yang terbaik dapat dilakukannya dan membina kekuatan itu secara konsisten.
“Saya juga mengingatkan Sabah Air agar tidak bersaing secara langsung dengan syarikat penerbangan komersial berskala besar kerana pengembangan secara tergesa-gesa tanpa perancangan rapi boleh menjejaskan kestabilan kewangan.
“Sebaliknya pendekatan berperingkat perlu diamalkan bermula secara kecil, mengukuhkan operasi dan berkembang secara beransur-ansur,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan jubli emas syarikat itu baru-baru ini.
Masidi menegaskan bahawa pertumbuhan secara berperingkat serta pengurusan kewangan berhemat adalah kunci kepada kelangsungan jangka panjang.
Menyoroti potensi penerbangan di Sabah Masidi menyatakan negeri ini kini mempunyai 141 penerbangan antarabangsa setiap minggu ke 14 destinasi sekali gus menyediakan asas kukuh untuk perkhidmatan niche tanpa perlu melampaui kemampuan sedia ada.
“Industri penerbangan amat memerlukan modal termasuk kos pesawat, kru, penyelenggaraan serta model perniagaan yang mantap.
“Justeru memahami kos dan mekanisme penerbangan adalah penting sebelum membuat pengembangan yang terlalu tinggi.
“Sabah perlu kekal realistik terhadap sumbernya. Ada syarikat penerbangan mampu bertahan walaupun mengalami kerugian kerana disokong pemilik yang kaya namun Sabah Air tidak boleh bergantung kepada kelebihan sedemikian.
“Pengurusan kewangan berhemat dan menyelaras pertumbuhan dengan keutamaan utama negeri seperti infrastruktur, bekalan elektrik, air, jalan raya dan pembasmian kemiskinan akan mengukuhkan pembangunan menyeluruh Sabah,” ujar beliau.
Sementara itu Pengerusi Sabah Air Kenny Chua menyingkap perjalanan 50 tahun syarikat itu yang menurutnya sejak awal ditubuhkan berteraskan khidmat untuk rakyat.
Menurutnya Sabah Air telah menjadi simbol dedikasi, perkhidmatan awam dan tanggungjawab sosial termasuklah menyokong misi perubatan kecemasan, operasi menyelamat, pengangkutan barangan keperluan serta menghubungkan komuniti di kawasan pedalaman,” katanya.
Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada kakitangan syarikat atas kejayaan yang dicapai dan berkongsi visinya mengenai masa depan termasuk pencapaian terbaru iaitu perolehan tanah seluas 17 hektar di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
“Tanah ini amat penting dalam merancang masa depan syarikat. Marilah kita menghargai sejarah lalu, berani bermimpi dan membina masa depan lebih gemilang bersama,” katanya.
