Gesa sediakan air minuman percuma di sekolah

LocalPolitics
8 Sep 2026 • 5:16 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Gesa sediakan air minuman percuma di sekolah

BELURAN: Kerajaan Negeri digesa menyediakan air minuman bersih secara percuma kepada pelajar di sekolah seluruh Sabah khususnya di kawasan luar bandar dan pulau.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk James Ratib berkata penyediaan kemudahan berkenaan penting bagi memastikan kebajikan serta keperluan asas pelajar ketika berada di sekolah terjamin terutama ketika cuaca panas.

Cadangan itu dikemukakan selepas didapati terdapat pelajar yang berdepan kekangan kewangan untuk membeli minuman di sekolah.

“Kadangkala ibu bapa hanya memberikan RM3. Untuk membeli nasi lemak dan mi goreng di sekolah pun sudah mahal, jadi mereka tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli air minuman.

“Adakalanya mereka membawa air dari rumah tetapi bekalan itu tidak mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balaban Jaya.

Menurut James penyediaan air minuman bersih tidak seharusnya terhad kepada sekolah tertentu sahaja sebaliknya boleh diperluaskan ke seluruh Sabah.

“Jika boleh kita meminta perkara ini dilaksanakan di seluruh Sabah membabitkan 1,300 sekolah. Jika boleh, kita sediakan satu mesin di setiap sekolah.

“Sekurang-kurangnya anak-anak ini mempunyai akses kepada air minuman dan bekalan air bersih terutama mereka yang berada di kawasan pulau,” katanya.

Beliau turut berharap Kerajaan Negeri dapat mengambil inisiatif berkenaan sementara menunggu urusan penyediaan kemudahan itu diambil alih Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Sementara itu James turut meninjau perkembangan projek di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Nangka dan pembinaan SMK Balaban Jaya.

Di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Nangka, projek Pembinaan Baharu Blok Bilik Darjah Modular A dan C di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) telah diluluskan dan kini dalam proses pelantikan kontraktor. Kerja pembinaan dijangka bermula pada pertengahan September 2026.

Sementara itu Projek Pengubahsuaian dan Naik Taraf Blok B (USNT) yang dikendalikan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Beluran kini sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada awal November 2026.

Selepas kedua-dua projek itu siap, kemudahan di SK Sungai Nangka boleh digunakan untuk menempatkan murid SK Balaban Jaya bagi sesi pagi, memandangkan sekolah berkenaan kini beroperasi di SK Pekan Beluran.

SMK Balaban Jaya pula akan menggunakan kemudahan berkenaan bagi sesi petang.

Pengaturan dua sesi itu membolehkan kemudahan sekolah dimanfaatkan secara optimum bagi memenuhi keperluan murid sekolah rendah dan menengah.

James turut meminta KPM mempertimbangkan pembinaan kawasan parkir dan kuarters guru bagi membantu guru yang terpaksa melakukan perjalanan jauh untuk ke sekolah.

Mengenai pembinaan SMK Balaban Jaya, James berkata projek itu mengalami kelewatan kira-kira 5.6 peratus, sebahagiannya disebabkan isu pembangunan tanah pada peringkat awal.

Bagaimanapun kerja pembinaan sekolah berkenaan masih berjalan dan dijangka siap pada akhir 2027.

Pada masa sama James meminta KPM memastikan bayaran kepada kontraktor dibuat mengikut jadual yang ditetapkan bagi melancarkan kerja pembinaan serta mengelakkan kelewatan pembayaran.

Beliau turut memuji kontraktor berkenaan dan menyifatkan prestasinya dalam melaksanakan pembinaan SMK Balaban Jaya sebagai baik.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved