Gesa semakan istilah tag pendaftaran anjing MPS

24 Jun 2026 • 4:38 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Gesa semakan istilah tag pendaftaran anjing MPS

SANDAKAN: Penggunaan istilah pada tag pendaftaran anjing di bawah sistem pelesenan haiwan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) mencetuskan perbincangan awam dengan Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong, menggesa semakan terhadap terminologi yang digunakan.

Isu itu mendapat perhatian selepas seorang pemilik anjing membuat aduan dan berkongsi di media sosial mengenai penggunaan perkataan yang merujuk kepada anjing betina pada tag pendaftaran haiwan tersebut.

Walaupun istilah berkenaan diiktiraf secara teknikal dalam bidang veterinar dan pembiakan sebagai istilah yang tepat untuk anjing betina namun pengadu berpendapat ia membawa konotasi yang dianggap kasar dan kurang sopan dalam penggunaan Bahasa Inggeris harian.

Dalam surat kepada pihak MPS pengadu mencadangkan Majlis mempertimbangkan penggunaan istilah alternatif seperti “Female Dog”, “Female Canine” atau hanya “F” bagi mengelakkan salah faham serta menjaga sensitiviti awam tanpa menjejaskan rekod pengenalan haiwan.

Kebimbangan itu turut disuarakan Vivian melalui hantaran di media sosialnya yang mengakui istilah tersebut adalah tepat secara teknikal dalam sistem pendaftaran haiwan namun mempersoalkan kesesuaiannya untuk dokumen dan tag yang dilihat umum.

“Saya faham bahawa istilah itu adalah istilah teknikal dalam pendaftaran haiwan untuk merujuk kepada anjing betina.

“Tetapi apabila digunakan pada tag atau dokumen rasmi yang dilihat oleh orang ramai, kita juga perlu peka terhadap persepsi umum dan penggunaan bahasa yang lebih sesuai,” katanya.

Vivian berkata bahasa sentiasa berkembang dan istilah yang tepat secara teknikal tidak semestinya sesuai digunakan dalam semua konteks.

Beliau mencadangkan supaya pihak berkuasa meneliti sama ada istilah alternatif seperti “female dog” boleh digunakan tanpa menjejaskan ketepatan rekod rasmi.

“Ini bukan soal terlalu sensitif tetapi soal memilih bahasa yang sesuai dalam perkhidmatan awam dan komunikasi dengan masyarakat,” tambahnya.

Isu itu menerima reaksi bercampur-baur di media sosial dengan sebahagian netizen berpendapat istilah tersebut masih digunakan secara antarabangsa dalam bidang veterinar dan tidak sepatutnya dianggap kasar dalam konteks teknikal.

Bagaimanapun ada juga yang menyokong cadangan perubahan itu dengan menyatakan agensi kerajaan perlu menggunakan istilah yang lebih mudah difahami serta tidak mengelirukan masyarakat.

Setakat ini MPS belum mengeluarkan kenyataan rasmi sama ada istilah pada tag pendaftaran haiwan akan disemak semula.

Perdebatan ini mencerminkan cabaran dalam mengimbangi ketepatan teknikal dengan keperluan penggunaan bahasa yang sesuai untuk orang awam.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved