
PETALING JAYA: Gesaan supaya Arthur Joseph Kurup diganti sebagai pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah boleh memakan diri kerana mengukuhkan persepsi Umno masih mahu mendominasi gabungan itu dan sukar berkongsi kuasa dengan parti tempatan, kata penganalisis.
Syahruddin Awang Ahmad berkata, tindakan mempertikaikan kepimpinan presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) itu juga berisiko mencetuskan perbalahan dalaman serta melemahkan BN ketika pengundi semakin mengutamakan agenda dan kepimpinan tempatan.
Ahli akademik dari Universiti Malaysia Sabah itu berkata, gesaan Ketua Umno Tawau Ghazalie Ansing supaya Arthur diganti kerana didakwa tidak membantu BN pada PRN Johor dan Negeri Sembilan kurang wajar kerana tidak mengambil kira perbezaan struktur politik di Sabah dan Semenanjung.
Katanya, PBRS ialah parti tempatan dengan pengaruh dan jentera tertumpu di kawasan tertentu di Sabah, berbeza Umno yang mempunyai rangkaian akar umbi lebih luas di Semenanjung.
Syahruddin berkata, pelantikan Arthur sebagai pengerusi BN Sabah sebenarnya langkah strategik untuk menyesuaikan gabungan itu dengan sentimen pengundi yang semakin menuntut kepimpinan daripada parti tempatan.
“Tindakan mempertikaikan kepimpinan Arthur memberi gambaran parti nasional seperti Umno masih enggan berkongsi kuasa secara saksama dengan rakan komponen Sabah.
“Keadaan ini berpotensi menghakis kepercayaan pengundi Sabah yang semakin mengutamakan agenda tempatan.
“Ia juga mencerminkan kecenderungan Umno untuk kekal mendominasi kepimpinan BN di Sabah seperti sebelum ini,” katanya kepada FMT.
Ghazalie ketika membuat gesaan itu mendakwa, Arthur mungkin mahu menjaga kedudukan dalam kerajaan pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Ahli Parlimen Pensiangan itu adalah menteri sumber asli dan kelestarian alam.
Arthur dilantik sebagai pengerusi BN Sabah pada Januari lalu, beberapa bulan selepas parti itu mencatatkan prestasi kurang memberangsangkan pada PRN negeri itu.
BN hanya menang enam DUN, namun menjadi sebahagian kerajaan negeri selepas menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri Hajiji Noor daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Arvin Tajari dari Universiti Teknologi Mara menyifatkan gesaan itu sebagai tidak matang dan tidak mengambil kira peranan PBRS sebagai jambatan untuk BN mendekati pengundi tempatan.
Beliau berkata, walaupun Umno parti terbesar dalam BN Sabah, ia perlu mengakui prestasi buruknya dalam pilihan raya lalu memberi kesan terhadap penerimaan rakyat.
“PBRS mewakili parti tempatan dalam BN,” katanya sambil mengingatkan Umno Sabah tidak boleh terus hidup dengan nostalgia sebagai kuasa dominan.
“Landskap politik negeri itu sudah berubah susulan kemunculan GRS dan Warisan.”Menurutnya, kedua-dua gabungan itu semakin mengambil alih kedudukan BN sebagai pilihan pengundi Sabah, menyebabkan Umno perlu menerima hakikat kekuatan parti tempatan penting untuk memulihkan sokongan.
“Umno dan BN perlu berpijak di bumi nyata…PBRS boleh ditonjolkan untuk menarik semula minat pengundi Sabah tanpa Umno perlu terus membawa naratif bahawa negeri itu mesti kembali dikuasai BN,” katanya.






