Getaran Jersi Musim Baharu Liga Perdana Inggeris 23/24: Yang Menarik, Yang Pelik & Yang ‘Meh’

Football
11 Aug 2023 • 1:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Jersi pasukan bagi musim baharu Liga Perdana Inggeris 2023-2024 diumumkan. - gambar hiasan

Musim baru Liga Perdana Inggeris (English Premier League) 23/24 akan membuka tirainya pada 12 Ogos 2023 dengan perlawanan pertama Manchester City menentang Burnley di stadium Turf Moor, Burnley.

Sebelum memasuki gelanggang musim baharu, kesemua pasukan telah memperkenalkan kit jersi baharu masing-masing yang akan disarungkan musim ini. Ada yang menarik, ada yang pelik, tidak kurang juga yang membosankan. Jom kita reviu jersi musim 23/24 ini.

Yang Menarik

LIVERPOOL

Diilhamkan dari kemenangan Piala FA 1974, jersi utama Liverpool musim ini memberi penghormatan kepada bekas pengurus legenda kelab itu, Bill Shankly dan musim terakhirnya di Anfield 50 tahun lalu.

Jersi merah delima menyala dengan kolar dan manset lengan putih kontras ini bukan sahaja kemas dipandang malah ia menyuntik semangat membara ketika bertarung di padang nanti. Inilah contoh less is more, sarung sahaja, terus teruja!

image is not available
Jersi Liverpool. - gambar Sports Direct

MANCHESTER CITY

Percikan electric blue berlatar belakangkan warna hitam dipilih sebagai corak jersi ketiga Manchester City musim ini untuk menggambarkan tenaga dinamik dan kelincahan pasukan ini sebagai juara bertahan EPL dua musim berturut-turut. Logo kelab dan penaja didatangkan dengan neon berwarna merah jambu menyuntik elemen ‘fun’ ke dalam jersi baharu City pada musim ini.

image is not available
Jersi Manchester City. - gambar PUMA UK

NEWCASTLE UNITED

Jersi ketiga baharu pasukan Newcastle United ini direka dengan corak celoreng penyamaran warna padang yang hijau. Dipadankan dengan seluar putih, jersi ini agak menarik berbanding pasukan lawan. Warna hijau yang dipilih, segar dan menyerlah ketika beraksi di padang.  Inikah taktik Newcastle United untuk mengelirukan pihak lawannya nanti?

image is not available
Jersi Newcastle United. - gambar Football Kit Archive

NOTTINGHAM FOREST

Nottingham Forest menampilkan jersey putih dengan jalur biru muda beralun di hadapan baju. Belang bukan sebarang belang, belang ini melambangkan sokongan dan pergerakan setia peminat di seluruh negara yang mengikuti pasukan yang baru sahaja memasuki liga sejak musim 22/23. Kemas dengan sedikit corak, jersi ini boleh tahan cantiknya.

image is not available
Jersi Nottingham Forest. - gambar Nottingham Forest

Yang Pelik

CRYSTAL PALACE

Jersi tuan rumah Crystal Palace musim ini mengingatkan kita tentang politik Malaysia, gabungan Kerajaan Perpaduan. Sekali pandang lagi, ada sedikit aura sut Spiderman. Dipadankan dengan seluar biru, jersi baharu ini umpama perekanya tidak boleh membuat keputusan. Lantas dibahagikan sahaja warnanya kepada dua bahagian!  

image is not available
Jersi Crystal Palace. gambar Football Kit Archive

ARSENAL

Jersi tandang Arsenal ini memang lain macam perginya. Bukan sahaja warna kuningnya mengundang silau, alunan hitam yang dipadankan boleh membuat pasukan lawan berpinar mata. Namun, jersi ini dihasilkan daripada poliester kitar semula untuk dalam usaha untuk menamatkan sisa plastik yang merosakkan bumi. Walaupun pelik, niat yang baik harus dipuji.

image is not available
Jersi Arsenal. - gambar Football Kit Archive

FULHAM

Jersi ketiga Fulham ini celaru dan mengundang nostalgia jubin moden abad pertengahan yang banyak digunapakai di rumah pinggir bandar beberapa abad yang lalu. Warna hijau pudina ini tidak berapa sesuai untuk bolasepak dan padanan corak ‘jubin’ ini tidak membantu.

image is not available
Jersi Fulham. - gambar Football Kit Archive

Yang Membosankan

CHELSEA

Ketiga-tiga jersi baharu Chelsea musim 23/24 ini membosankan. Tiada apa yang menarik pada jersi tuan rumah Chelsea yang berwarna polos biru diraja tanpa perincian atau logo penaja ini. Jersi ini memberi penghormatan kepada tahun 90-an, ketika Chelsea menjadi juara Piala UEFA di Eropah. Diharap  corak perlawanan pasukan ini di musim baharu tidak menyerupai jersinya pula!

image is not available
Jersi Chelsea. - gambar Football Kit Archive

MANCHESTER UNITED

Warna Jersi Tandang Manchester United ini sesuai untuk dipakai ke pejabat pada hari Jumaat, hari kasual. Menampilkan warna hijau kusam dengan garisan putih besar menegak, jersi ini kelihatan lama dan tua. Walaupun Adidas ingin menyuntik nafas baharu kepada corak klasik kit tandang pertama Manchester United, usaha itu rasanya kurang berjaya.

image is not available
Jersi Manchester United. - gambar Football Kit Archive

TOTTENHAM HOTSPUR

Warna jersi Tottenham Hotspur musim baharu ini menampilkan kombo warna klasik kelab iaitu putih dan biru navy tetapi rekabentuknya tidak membuat siapa pun teruja. Sama sahaja musim lama atau musim baharu, jersi Spurs sememangnya 'meh' dan tiada bernyawa.

image is not available
Jersi Tottenham Hotspur. - gambar Football Kit Archive

Setuju atau tidak dengan reviu kami? Yang pasti semua peminat sedang teruja menantikan pembukaan musim baharu Liga Perdana Inggeris setelah berbulan-bulan menunggu. Bagi peminat bola sepak, jom sama-sama kita menyaksikan pemain-pemain baharu beraksi dan bersorak meraikan kemaraan pasukan pilihan. Getaran, 11 Ogos 2023