Mahkamah Hong Kong tolak permohonan halang larangan pakai topeng muka

6 Oct 2019 • 5:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

HONG KONG - Sebuah mahkamah di Hong Kong hari ini menolak cabaran kepada undang-undang darurat yang melarang penunjuk perasaan memakai topeng muka.

Ribuan peserta protes terus mengadakan protes di bandar raya bergolak itu malah ada yang melakukan vandalisme terhadap stesen kereta api bawah tanah dan deretan kedai selepas Ketua Eksekutif, Carrie Lam mengenakan larangan tersebut di bawah undang-undang yang tidak pernah digunakan selama hampir setengah abad sejak zaman era penjajahan British.

Penggubal undang-undang prodemokrasi yang mengemukakan tuntutan itu kepada Mahkamah Tinggi menuntut injunksi kecemasan terhadap larangan itu yang didakwa melangkaui badan perundangan dan Perlembagaan kecil bandar raya terbabit.

Tetapi permintaan injunksi tersebut ditolak hakim kanan.

Sejurus keputusan itu dibuat dua perhimpunan disertai ribuan penunjuk perasaan bertopeng dalam keadaan hujan lebat berlangsung di kedua-dua bahagian Victoria Harbour.

Difahamkan, undang-undang darurat tersebut membolehkan Lam membuat sebarang peraturan jika ia menggugat ketenteraman awam dan beliau telah menggunakannya untuk melarang topeng muka dalam kalangan penunjuk perasaan.

Keadaan tegang yang berlarutan selama empat bulan di hab kewangan Asia itu juga menyebabkan pemimpin yang mendapat sokongan kuat China itu memberi amaran untuk membuat peraturan baharu jika protes itu tidak reda.

Dalam perkembangan lain, sebahagian operasi stesen kereta api metro dibuka semula selepas protes ganas kembali melumpuhkan bandar raya tersebut.

Siri demonstrasi tersebut telah mengganggu operasi kebanyakan premis perniagaan berikutan ia terpaksa ditutup beberapa kali sejak beberapa bulan lalu dan dijangka menyebabkan Hong Kong bakal berdepan kemelesetan ekonomi pertama dalam tempoh sedekad. - AFP


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved