
21 buah motosikal turut ditahan
Ghairah Buat Aksi Wheelie, Pemuda Ditahan Dalam Operasi Bersepadu Di Kuching. Operasi bersepadu yang dijalankan polis sejak 8 Mac hingga di Jalan Tun Abdul Rahman Yaakob di Kuching menyaksikan penahanan seorang penunggang motosikal berusia 21 tahun kerana menunggang secara melulu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa berkata suspek ditangkap sedang melakukan ‘wheelie’ dan membahayakan keselamatan pemandu lain.

“Suspek disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikalnya secara melulu dan berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada akhir operasi.
Merbin berkata sepanjang operasi empat hari itu, polis mengeluarkan sebanyak 145 saman atas kesalahan berkaitan trafik termasuk pengubahsuaian kenderaan secara haram, tidak mempunyai lesen memandu, ketiadaan cermin sisi dan plat lesen tidak sah.
“Semakan telah dijalankan ke atas 215 individu dan 190 motosikal. Dua puluh satu motosikal ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau berkata operasi serupa akan dijalankan secara berkala bagi mengesan mereka yang melakukan kesalahan jalan raya.
