SHAH ALAM, 17 FEB: Pemaju projek pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) giat memantau kualiti udara sekitar kawasan berkenaan sepanjang proses pembersihan sisa perobohan.
Pengurus besar unit projek khas Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata ia bagi memastikan persekitaran pada tahap baik, khususnya menjelang pembukaan bazar Ramadan.
Datuk Ir Ruslan Abdul Aziz menjelaskan pemaju, iaitu Lembaran Prospek Sdn Bhd perlu mengikut garis panduan pematuhan pemantauan Jabatan Alam Sekitar sejak perobohan dimulakan 1 Julai 2024.
“Pemantauan untuk mengelakkan habuk dan debu daripada sisa perobohan memberi kesan kepada penyediaan makanan di bazar Ramadan,” katanya.

Ditemui selepas meninjau tapak projek KSSA bersama MRCB Land Sdn Bhd di sini, baru-baru ini, beliau menambah kaedah penyemburan air dibuat secara kerap untuk mengurangkan penyebaran habuk.
“Sekiranya bacaan kualiti udara meningkat, pekerja akan kerapkan penyemburan air untuk melembabkan jalan. ‘Water bowser’ (lori tangki air) juga akan ditambah.
“Ia sekali gus dapat mengurangkan penyebaran habuk, serta memastikan debu daripada kerja pembersihan terkawal,” katanya.
Perobohan stadium menggunakan kaedah lazim atau konvensional tanpa bahan letupan bagi mengelak gangguan bunyi, habuk dan air terhadap penduduk.
KSSA yang meliputi gelanggang baharu Selangor FC serta kawasan rekreasi bagi orang awam dibina dengan kapasiti 30,000 hingga 40,000 tempat duduk untuk menampung penonton dalam satu-satu masa.


The post Giat pantau debu sisa perobohan Stadium Shah Alam appeared first on Selangorkini.


