GiatMARA Hasilkan 40 Jutawan Sejak Ditubuhkan

11 Sep 2022 • 5:48 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Perdana Menteri berkata, selain menjadi antara pilihan utama pelajar lepasan sekolah, kadar kebolehpasaran pelatih GiatMARA juga sangat tinggi - Gambar Fail

BERA - Seramai 40 jutawan berjaya dilahirkan dari GiatMARA sejak ditubuhkan pada 1986.

Penubuhan GiatMARA juga memberi peluang kepada lebih ramai anak muda mempelajari pelbagai bidang kemahiran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain menjadi antara pilihan utama pelajar lepasan sekolah, kadar kebolehpasaran pelatih GiatMARA juga sangat tinggi.

"Saya nak maklumkan di sini, GiatMARA ini 80 peratus daripada yang mengambil kursus itu dapat pekerjaan, terlibat dalam bidang perniagaan. 

"Maknanya, dari segi rekod GiatMARA ini, memang bagus kerana hasil dari GiatMARA itu, apabila mereka keluar, bukan saja mereka boleh bekerja tetapi boleh menjalankan pekerjaan sendiri.

"Sejak ditubuhkan, tak silap saya 400,000 lebih telah pun dilatih dan tak silap saya ada 40 jutawan yang dihasil, dilahirkan GiatMARA," katanya ketika berucap pada program Moh Ngeteh dan Kampungku Mahir anjuran bersama GiatMARA di Kampung Kuala Triang, dekat sini, petang tadi.

Perdana Menteri berkata, kedatangan GiatMARA melalui program di kawasan kampung itu akan diperbanyakkan lagi bagi mendekati komuniti setempat.

“Penganjuran program juga dapat  memberikan maklumat berkaitan kursus disediakan GiatMARA, terutamanya kepada golongan muda,” katanya. - Getaran, 11 September 2022

View Original Article