Gibran belum hilang jawatan, kekal Naib Presiden Indonesia

WorldPolitics
11 Nov 2026 • 9:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Gibran belum hilang jawatan, kekal Naib Presiden Indonesia

JAKARTA: Menteri Penyelaras Undang-Undang, Hak Asasi Manusia, Imigresen dan Pemasyarakatan Indonesia, Yusril Ihza Mahendra menafikan dakwaan berlaku kekosongan jawatan Naib Presiden, sambil menegaskan Gibran Rakabuming Raka masih sah memegang jawatan itu.

Beliau berkata, Gibran juga masih menjalankan tugas rasmi seperti biasa meskipun keputusan terbaharu Mahkamah Agung (MA) dan Mahkamah Perlembagaan (MK) membangkitkan isu berkaitan kelayakan pendidikannya.

Menurut Yusril, kedudukan Gibran dari segi undang-undang tidak terjejas oleh keputusan kedua-dua mahkamah berkenaan.

Kenyataan itu dibuat selepas Presiden Prabowo Subianto mengadakan pertemuan tertutup dengan Gibran pada Selasa, di mana Naib Presiden itu menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan.

Yusril berkata, keputusan kedua-dua mahkamah itu tidak menyebabkan Gibran kehilangan jawatan atau menamatkan tempoh perkhidmatannya sebagai Naib Presiden secara automatik.

“Selagi beliau tidak meletakkan jawatan atau dilucutkan daripada jawatannya, beliau kekal sebagai Naib Presiden,” katanya.

Terdahulu, lebih 100 ahli Parlimen Indonesia menandatangani petisyen bagi memulakan usaha menyingkirkan Gibran, yang berpotensi mencetuskan ketegangan politik baharu di negara itu.

Muhammad Kholid, antara ahli Parlimen yang menandatangani petisyen itu, berkata dokumen berkenaan akan diserahkan kepada Speaker Dewan. 

Beliau berkata, pendirian rasmi ahli Parlimen berhubung perkara itu akan menjadi asas kepada proses pemecatan Gibran.

Kedudukan Gibran menjadi perhatian susulan keputusan Mahkamah Perlembagaan dan Mahkamah Agung bulan lalu yang mendapati dokumen pendidikannya tidak memenuhi syarat kelayakan pilihan raya. 

Mahkamah Perlembagaan memaklumkan tiada bukti kukuh menunjukkan Gibran memiliki kelayakan akademik setara diploma sekolah menengah atas (SMA) dari luar negara yang diiktiraf, manakala Mahkamah Agung memutuskan sijil tamat sekolah menengah atas yang dikemukakannya ketika mendaftar sebagai calon Pilihan Raya Presiden 2024 adalah tidak sah.

 

 

The post Gibran belum hilang jawatan, kekal Naib Presiden Indonesia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved