
POTENSI industri perfileman Sabah untuk menembusi pasaran nasional semakin terserlah apabila filem thriller seram tempatan, GIRING berjaya mencatat kutipan RM500,000 dalam tempoh seminggu tayangan di pawagam.
Pencapaian itu mencerminkan kemampuan karya anak tempatan menarik perhatian penonton, selain membuka ruang untuk mengetengahkan sejarah, warisan budaya dan identiti Sabah kepada khalayak lebih luas.
Filem arahan Marlin Malalin (gambar) terbitan 7A Borneo Sdn Bhd itu mula ditayangkan pada 29 Oktober 2026, dengan pihak produksi kini menyasarkan kutipan seterusnya sebanyak RM1 juta.
GIRING menampilkan gabungan pelakon tempatan dan nasional, antaranya Tati Eliana Tonny, Bell Ngasri, Adeline Tsen, Rodhi Madun, Duncan Christian Tubong, Ray Redzuan Awang, Lucilla Anggun dan Marlin sendiri.
Meskipun mengetengahkan genre thriller seram, GIRING menawarkan penceritaan lebih luas dengan menyelitkan elemen sejarah, khususnya era pembentukan Malaysia serta perjuangan masyarakat peribumi Sabah menentang pendudukan Jepun.
Marlin berkata, keistimewaan GIRING terletak pada usaha mengangkat naratif sejarah penting menerusi sebuah karya hiburan yang mampu menarik perhatian penonton.
Beliau berkata, penceritaan filem itu turut menampilkan tokoh penting dalam sejarah pembentukan Malaysia, termasuk Tun Datu Mustapha Harun, Donald Stephens dan Tunku Abdul Rahman.
Menurutnya, antara mesej utama yang ingin disampaikan ialah semangat kebangkitan masyarakat peribumi Sabah daripada pelbagai latar belakang dalam menghadapi cabaran sejarah.
Katanya, semangat berkenaan turut memperlihatkan kepentingan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa dan agama sebagai asas membina sebuah negara yang harmoni.
GIRING juga membawa mesej integrasi nasional dengan mengetengahkan nilai kebersamaan, persefahaman dan keharmonian dalam kehidupan masyarakat.
Kekayaan budaya yang ditampilkan dalam filem itu turut menjadi medium untuk memperkenalkan warisan, identiti dan keunikan masyarakat Sabah kepada penonton di luar negeri ini.
Lebih daripada sekadar sebuah filem seram, produksi berkenaan memperlihatkan bagaimana sejarah dan warisan tempatan boleh dikembangkan menjadi kandungan kreatif yang mempunyai nilai komersial serta kepentingan dalam pendidikan sejarah.
Pencapaian awal GIRING juga memberi dorongan kepada perkembangan industri kreatif Sabah, khususnya dalam membuka lebih banyak peluang kepada bakat tempatan dalam bidang lakonan, pengarahan, penerbitan dan produksi filem.
Pihak produksi berharap sokongan berterusan penonton, khususnya rakyat Sabah, dapat membantu filem berkenaan mencapai sasaran kutipan RM1 juta, sekali gus membuka laluan kepada lebih banyak karya tempatan untuk menembusi pasaran lebih luas.
Kejayaan itu turut memperlihatkan bahawa Sabah bukan sahaja memiliki keindahan alam dan kepelbagaian budaya, malah kaya dengan sejarah, cerita, bakat serta kreativiti yang berpotensi diketengahkan ke peringkat nasional.
“GIRING bukan sekadar membawa kisah seram ke layar perak, tetapi turut mengangkat sejarah, perpaduan dan identiti Borneo sebagai sebahagian daripada khazanah yang wajar dikenali generasi masa kini,” tambah beliau.

