GISBH: Anwar arah pihak berkuasa, majlis agama segera ambil tindakan

LocalPolitics
13 Sep 2024 • 3:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahimi (tengah) beramah mesra dengan para jemaah selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Al-Iman, Kampung Desa Putra, Sungai Merab, Kajang pada Jumaat. Foto Bernama

KAJANG - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak berkuasa termasuk majlis agama Islam untuk segera melakukan siasatan dan mengambil tindakan berhubung dakwaan salah laku syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Bercakap kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Iman di sini hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah itu penting dan tidak boleh dilengahkan kerana melibatkan soal penyalahgunaan kuasa, agama serta penderaan kanak-kanak.

"Biar polis buat siasatan dan ambil tindakan ikut undang-undang dan pihak majlis agama terutama wilayah (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) dan JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor)... Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) yang ada kekuatan penyiasatan dan penyelidikan untuk memberikan nasihat.

"Biar ada saluran dan jangan lengahkan. Ramai tanya mengapa ada kelewatan atau kelengahan dalam mengambil tindakan?

"Jadi, saya telah bawa kepada badan-badan ini untuk ambil tindakan segera, siasatan dan laporan,” katanya.

Media baru-baru ini melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat GISBH atas dakwaan mengeksploitasi kanak-kanak di 20 rumah amal milik rangkaian syarikat itu.

Polis turut menahan 171 individu terdiri daripada tenaga pengajar, penjaga asrama dan pengerusi pusat pengajian berumur 17 hingga 64 tahun bagi membantu siasatan. - Bernama