GISBH berdepan tindakan jika eksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja

26 Sep 2024 • 2:51 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

PUTRAJAYA, 26 SEPT: Kumpulan perniagaan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) berdepan tindakan undang-undang jika terbukti melakukan eksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja.

Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan berkenaan.

“Ya kita ada dipanggil untuk bantu siasatan bersama pihak berkuasa. Setakat ini siasatan masih berjalan untuk kita mengesan jika berlaku sebarang eksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja.

image is not available
Timbalan Pengarah JTKSM, Ahamad Kamal Mohd Noor

“Kita ada peruntukan undang-undang dan jika sabit kesalahan mereka boleh didenda sehingga RM50,000 dan penjara dua tahun,” kata Ahamad Kamal Mohd Noor kepada Selangorkini.

Beliau ditemui selepas menghadiri Konvesyen Perburuhan JTKSM 2024: Penggajian Kanak-Kanak dan Orang Muda Dalam Industri Hiburan di Hotel Dorsett di sini, hari ini.

Pada 10 September lalu, polis menyerbu 20 premis GISBH di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan selepas mengesyaki kumpulan itu melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.

Dalam operasi itu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan selain dipercayai menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.

Untuk rekod, kanak-kanak dan belia yang belum mencapai umur 18 tahun dilindungi mengikut Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 (Akta 350).