GISBH: JKM buka 11 rumah selamat untuk 572 mangsa kanak-kanak

LocalPolitics
23 Sep 2024 • 5:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tan Sri Razarudin Husain (tengah) pada sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuka 11 rumah selamat untuk 572 mangsa kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global setakat ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua mangsa itu telah menjalani saringan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan akan diserahkan kepada JKM untuk ditempatkan di rumah selamat.

"Sebelum ini, JKM membuka empat rumah selamat, namun jumlah tersebut meningkat dengan 11 rumah selamat dibuka untuk 572 mangsa kanak-kanak," katanya ketika sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini pada Isnin.

Razarudin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berjaya menyelamatkan 187 mangsa termasuk 87 perempuan berusia lima hingga 18 tahun dalam Op Global fasa 4, pada Sabtu lalu.

"Kita menyelamatkan seramai 59 kanak-kanak berusia bawah lima tahun, 75 kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun, 40 orang berusia 13 hingga 17 tahun dan 13 individu berusia 18 tahun ke atas," katanya.