GLC digesa manfaat dasar mesra pelabur Sabah Maju Jaya

19 Dec 2022 • 1:34 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) digesa memanfaatkan sepenuhnya dasar mesra pelabur di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi memacu pertumbuhan ekonomi Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pendekatan berkenaan membolehkan Sabah memperolehi RM12 bilion dalam pelaburan asing dan RM942 juta dalam pelaburan domestik selain turut mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan dalam tempoh dua tahun bermula September 2020.

Beliau yakin dengan pengalaman dan kewibawaan sedia ada, GLC mampu bergerak ke hadapan dalam perniagaan dan menyumbang secara langsung kepada aspirasi SMJ.

“Kerajaan negeri akan meningkatkan kapasiti dan menggalakkan penglibatan GLC dalam aktiviti industri minyak dan gas, mineral, pertanian, akuakultur dan sumber marin.

“Kekayaan sumber asli Sabah perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjana hasil dan pertumbuhan ekonomi secara optimum melalui penglibatan GLC negeri dalam sektor perindustrian,” ujarnya pada Majlis Makan Malam Jubli Emas Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sabah (Sedco) di sini.

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Menurut beliau, Sedco yang ditubuhkan sejak lima dekad lalu berperanan dalam merangsang pemulihan ekonomi, meningkatkan ekonomi rakyat dan membina sumber modal insan negeri harus terus kekal relevan dan lebih berdaya saing sejajar dengan keperluan ekonomi semasa.

“Tugas ini bukan mudah lebih-lebih lagi selepas pandemik Covid-19 tetapi saya percaya ia boleh dilakukan dengan kebijaksanaan pengurusan, kecekalan di samping visi dan idea baharu.

“Komitmen setiap warga Sedco perlu sentiasa digerakkan secara bersepadu dan proaktif untuk mencapai semua objektif yang dihasratkan.

“Usaha juga perlu diteruskan dalam memastikan peningkatan sistem penyampaian perkhidmatan dapat memenuhi kehendak pelanggan yang terdiri daripada pelabur, usahawan dan agensi kerajaan,” katanya.

Dalam majlis yang sama, turut diadakan penyampaian sumbangan korporat berjumlah RM5,000 kepada Persatuan Ibu Tunggal Sabah, Persatuan Autisme Sabah dan Persatuan Orang Buta Sabah selain Penyerahan Bayaran Balik Pinjaman Sedco kepada Kerajaan Negeri yang disampaikan Pengerusi Sedco, Datuk Rubin Balang kepada Kerajaan Negeri berjumlah RM10 juta kepada wakil Kerajaan Negeri, Mohd Tamin Zainal serta wakil Kementerian Kewangan Sabah, Ervina Brenda Majimbun.

Turut hadir, Pengurus Besar Sedco Haizar Razif Hisyam Ajaz Nabjan, Timbalan Pengurus Besar Sedco, Azrul Ahmad serta Timbalan Pengurus Besar Sedco, Perancangan & Pembangunan, Suhaimi Untong.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.