GLIC, GLC perlu bekerjasama sokong aspirasi perkasa rakyat serta menjadikan Malaysia hab ekonomi Islam bertaraf dunia - PM Anwar

Politics
22 Dec 2023 • 4:19 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

GLIC, GLC perlu bekerjasama sokong aspirasi perkasa rakyat serta menjadikan Malaysia hab ekonomi Islam bertaraf dunia - PM Anwar

azan

22/12/2023 - 16:19

KUALA LUMPUR 22 Dis - Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu bekerjsama untuk menyokong aspirasi negara meperkasa rakyat selain menjadi destinasi pelaburan serta hab ekonomi Islam bertaraf dunia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata GLIC dan GLC juga harus melonjakkan pelaburan dalam sektor digital dan tenaga boleh baharu, serta menggalakkan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melebarkan pasaran ke negara serantau seperti yang ditetapkan dalam aspirasi negara.

“Semalam saya telah mempengerusikan mesyuarat dengan ketua-ketua pegawai eksekutif GLIC. Perbincangan ini adalah mukadimah kepada reformasi GLIC dan GLC agar mereka lebih tertumpu kepada pembangunan serta kesejahteraan rakyat seperti yang digariskan dalam kerangka Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat.

“Saya menerima baik cadangan ketua-ketua pegawai eksekutif GLIC untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan kemajuan ekonomi tempatan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.

Beliau berkata antara cadangan yang telah dikemukakan termasuk menambah baik perbelanjaan daripada kutipan zakat korporat, menjalinkan usaha sama dengan sektor swasta bagi membangunkan penginapan pelajar serta menggembleng lebih dana untuk pelaburan dalam syarikat tidak tersenarai bagi sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Beliau turut memberi mandat kepada GLIC untuk meningkatkan pelaburan langsung domestik masing-masing kerana GLIC mempunyai tanggungjawab untuk bersama-sama dengan kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan pendapatan rakyat terbanyak, katanya.

Anwar berkata dengan jumlah saiz aset di bawah pengurusan bernilai RM1.84 trilion, iaitu hampir sama dengan saiz Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal Malaysia pada tahun ini, GLIC berupaya menggerakkan dan melonjakkan ekonomi Malaysia ke depan.

“Bagi memastikan misi-misi ini tercapai, kerajaan akan terus mengadakan mesyuarat berkala yang akan dipengerusikan oleh saya atau Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan untuk memantau pencapaian dan kemajuan inisiatif yang diterajui oleh GLIC.

“Insya-Allah, dengan pendekatan ini, Malaysia akan melangkah lebih cepat ke arah kemajuan yang mampan dan saksama,” katanya.- DagangNews.com