GLIC perlu ikut dasar nasional, bukan hanya kejar keuntungan tetapi pertahan perbelanjaan Belanjawan 2026 - PM Anwar

15/10/2025 - 16:07
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya.- Gambar/ FB Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR 15 Okt - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan perbelanjaan sebanyak RM30 bilion oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) menerusi Belanjawan 2026, dengan menegaskan peranan mereka adalah untuk menyokong kepentingan awam melangkaui pertimbangan komersial semata-mata.
"Khazanah (Nasional Berhad) ditubuhkan untuk melindungi kepentingan awam. Ia beroperasi dalam sektor komersial dan juga dalam bidang yang menyokong aspirasi nasional. Ia bukan syarikat swasta — jadi ia tidak boleh mengabaikan dasar negara dan melabur sesuka hati.
"Kalau mahu melabur di Amerika Syarikat, China atau India — tidak mengapa, tetapi itu bukan sepenuhnya betul. Ya, anda boleh membuat pelaburan komersial, tetapi pada masa yang sama, kita sedang giat menarik pelabur asing datang ke negara ini. Jadi, jika syarikat milik kita sendiri banyak melabur di luar negara, itu tidak masuk akal.
"Sebab itu kita katakan: sekurang-kurangnya sebahagian daripada pelaburan itu perlu dibuat dalam negara,” katanya ketika berucap ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan.
Belanjawan 2026 merangkumi lebih RM50 bilion dalam pembiayaan daripada GLIC, pelaburan awam-swasta dan entiti milik kerajaan, seperti badan berkanun persekutuan dan syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc), selain perbelanjaan langsung kerajaan sebanyak RM419.2 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan.
Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, sebelum ini mengkritik langkah tersebut dengan alasan, memaksa GLIC melabur dalam projek sosial berpulangan rendah boleh menyebabkan kerugian kewangan yang akhirnya membebankan rakyat.
Dalam ucapan Belanjawan 2026, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, GLIC akan meningkatkan pelaburan domestik di bawah inisiatif GEAR-uP kepada RM30 bilion tahun ini, berbanding RM25 bilion sebelum ini, bagi memacu pengembangan sektor strategik, pelaburan GLIC akan menyokong syarikat dan pasaran tempatan yang berada di fasa pertumbuhan.
Enam GLIC utama yang terlibat ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) serta Khazanah.
Selain itu, entiti milik kerajaan turut melabur sebanyak RM10.8 bilion di bawah Belanjawan 2026.- DagangNews.com
standard


