GLIC salur RM20.3 bilion pelaburan domestik

LocalBusiness & Finance
7 Aug 2026 • 4:47 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: GLIC salur RM20.3 bilion pelaburan domestik

PUTRAJAYA: Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) memperuntukkan dan menyalurkan pelaburan langsung domestik sebanyak RM20.3 bilion sepanjang tahun lalu, hampir tiga kali ganda berbanding RM6.6 bilion yang direkodkan pada 2024.

Pencapaian itu didedahkan menerusi Laporan Kemajuan GEAR-uP 2026 yang dilancarkan Kementerian Kewangan (MOF) hari ini.

Menurut laporan itu, sebahagian besar pelaburan disalurkan ke sektor strategik yang menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara pada masa depan.

Daripada jumlah RM20.3 bilion itu, sebanyak RM1.4 bilion disalurkan ke industri semikonduktor manakala RM1.8 bilion lagi ke sektor infrastruktur digital dan logistik.

Pelaburan turut melibatkan sektor tenaga, penjagaan kesihatan, keterjaminan makanan dan syarikat pemula niaga tempatan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, GEAR-uP diwujudkan bagi memastikan modal negara diterjemahkan kepada keupayaan ekonomi yang lebih kukuh.

Katanya, inisiatif tersebut membantu mewujudkan perniagaan baharu, peluang pekerjaan berkualiti dan rantaian bekalan yang lebih mampan.

“GEAR-uP berfungsi untuk menukarkan modal kepada keupayaan. Ini bermakna membina perniagaan, mewujudkan pekerjaan yang baik dan membayar gaji yang adil kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Katanya, momentum pelaksanaan program itu akan diteruskan sepanjang tahun ini dan tahun-tahun berikutnya.

Amir Hamzah berkata, kesemua 37 GLC di bawah enam GLIC kini menjadi sebahagian daripada program berkenaan.

Pada masa sama, katanya, keseluruhan portfolio mencatat pulangan pemegang saham sebanyak lapan peratus pada tahun lalu berbanding sasaran 7.5 peratus.

Laporan sama turut menyatakan sebahagian besar komitmen pelaburan domestik berjumlah RM120 bilion sehingga 2028 masih belum disalurkan.

Modal berkenaan dijangka terus mengalir ke sektor semikonduktor, infrastruktur digital, penjagaan kesihatan dan transisi tenaga bagi memperkukuh daya saing ekonomi negara. – UTUSAN

The post GLIC salur RM20.3 bilion pelaburan domestik appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved