Global Sumud Flotilla: Aktivis Malaysia Yang Ditahan Israel Selamat Tiba Di Türkiye

22 May 2026 • 9:52 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Global Sumud Flotilla: Aktivis Malaysia Yang Ditahan Israel Selamat Tiba Di Türkiye

KUALA LUMPUR — Delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 selamat tiba di Türkiye selepas dibebaskan dari tahanan Israel. 

Mereka terdahulu dipintas dan ditahan rejim Zionis berkenaan  ketika dalam pelayaran bagi menyalurkan bantuan berkaitan krisis kemanusiaan di Gaza.

Berita melegakan itu disahkan Sumud Nusantara yang memaklumkan, kesemua 29 peserta dari Malaysia tiba dengan selamat di Türkiye lewat malam tadi  dengan menaiki penerbangan Turkish Airlines selepas berdepan pelbagai cabaran sepanjang misi berkenaan.

“Alhamdulillah, semua delegasi kami telah selamat tiba di Türkiye dan berjaya mengharungi setiap dugaan.

“Terima kasih atas sokongan dan doa yang menjadi pelindung buat pasukan Sumud Nusantara. Kami akan meneruskan perjuangan ini dengan semangat dan keazaman yang lebih tinggi,” kata organisasu itu.

Terdahulu, Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby dilaporkan berkata, Presiden Türkiye, Recep Tayyip Erdoğan, telah menaja tiga pesawat Turkish Airlines bagi membawa pulang kesemua 428 aktivis antarabangsa, termasuk delegasi Malaysia, dari Lapangan Terbang Ramon di Israel ke Istanbul.

Menurut beliau, delegasi Malaysia dijadual berlepas dari Türkiye ke Malaysia pada 23 Mei sebelum dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 24 Mei.

Misi Global Sumud Flotilla dianjurkan sebagai sebahagian daripada usaha kemanusiaan antarabangsa susulan konflik berterusan di Gaza, dengan penyertaan aktivis dari pelbagai negara bagi menarik perhatian dunia terhadap situasi kemanusiaan di wilayah Palestin itu. - Getaran, 22 Mei 2026