Global Sumud Flotilla: Masjid Serta Surau Bawah JAKIM & JAWI Diarah Buat Solat Hajat, Qunut Nazilah

LocalPolitics
2 Oct 2025 • 4:07 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Ketika ini, 15 aktivis Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza menerusi jalan laut telahpun ditahan oleh tentera Israel.

Mereka ditahan selepas Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) pada awal pagi tadi (2 Oktober) mengesahkan beberapa kapal GSF telah dipintas oleh rejim zionis itu di perairan antarabangsa.

Susulan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua aktivis serta sukarelawan Malaysia dan antarabangsa dibebaskan dan menyatakan bahawa kerajaan juga akan mengambil langkah untuk menuntut pertanggungjawaban Israel.

Masjid dan Surau di bawah JAKIM & JAWI Diarah buat solat hajat serta Qunut Nazilah

Terbaharu, semua masjid dan surau di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarah mengadakan solat hajat serta bacaan Qunut Nazilah susulan tindakan Israel memintas kapal GSF itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia akan dilaksanakan selepas solat Maghrib malam ini serta esok selepas solat Jumaat selain khutbah Jumaat khas mengenai isu Palestin juga akan disampaikan di semua masjid serta surau di Wilayah Persekutuan.

“Saya mengesyorkan kepada semua masjid dan surau Jumaat di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam negeri-negeri turut mengambil langkah yang sama.

“Ayuh kita semua mendoakan keselamatan dan perlindungan kepada pasukan GSF khususnya untuk rakyat Malaysia yang terlibat selain mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin,” katanya dipetik Sinar Harian.

image is not available
Screenshot

Seluruh masjid di Terengganu diseru adakan solat hajat selepas solat Jumaat esok

Dalam pada itu, seluruh masjid di Terengganu juga diseru supaya mengadakan solat hajat khusus bagi mendoakan keselamatan peserta GSF.

Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) Jabatan Hal Ehwal Agama Terenggun (JHEAT), Zahari Sulong berkata, solat hajat tersebut akan diadakan esok selepas selesai Solat Jumaat.

“Inisiatif itu bertujuan menunjukkan sokongan moral dan spiritual terhadap perjuangan kemanusiaan dan usaha murni yang dibawa oleh aktivis flotilla berkenaan,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha berkenaan selari dengan semangat solidariti umat Islam dalam membela nasib rakyat Palestin yang berdepan kekejaman rejim Zionis.

Zizi Kirana dan Heliza Helmi antara 15 rakyat Malaysia yang ditahan zionis

Sebelum ini, media melaporkan seramai 12 peserta GSF rakyat Malaysia termasuk Zizi Kirana, Heliza Helmi dan Farah Lee telah ditahan oleh tentera Israel.

Perkara itu dimaklumkan menerusi video mesej kecemasan yang dimuat naik di akaun Facebook Sumud Nusantara Official pada beberapa jam yang lalu.

Selang beberapa jam kemudian, tiga lagi rakyat Malaysia sudah ditangkap zionis menjadikan jumlah keseluruhan ketika ini seramai 15 orang.

Ketiga-tiga mereka yang dimaksudkan adalah Hareez Adzrami (Haroqs), Haikal Luqman dan Dr Taufiq.

Source: