
KLANG, 29 OGOS: Fasad Blok B GM Klang menyala sebagai kanvas seni digital gergasi menerusi pelancaran Terang Kentara, sebuah persembahan projection mapping berskala besar yang menggabungkan seni digital, teknologi visual dan identiti tempatan. Pada malam yang sama, GM Klang turut melancarkan Port Seni, hab kreatif baharu yang menghimpunkan seni, budaya, keusahawanan kreatif dan komuniti di bawah satu bumbung.
Menerusi Terang Kentara, grafik, animasi, pencahayaan dan muzik dipetakan mengikut struktur bangunan bagi menghasilkan pengalaman visual yang imersif. Lebih istimewa, persembahan ini turut menghidupkan 40 karya seni kanak-kanak daripada program Terang Junior bertemakan “Surprising Selangor”. Karya yang bermula di atas helaian kertas diterjemahkan ke dalam visual digital dan dipancarkan pada fasad GM Klang sepanjang tempoh penganjuran, memberi peluang kepada para peserta dan keluarga menyaksikan imaginasi mereka tampil sebagai karya seni berskala bangunan.
Pengurus Besar GM Klang, Chloe Tan Siang Hui, berkata Terang Kentara merupakan sebahagian daripada usaha GM Klang untuk terus memperkayakan pengalaman pengunjung dan memanfaatkan ruang komersial dengan cara yang lebih kreatif.
“Bagi kami, nilai sebenar Terang Kentara bukan terletak pada skala projection mapping semata-mata, tetapi pada bagaimana teknologi dapat dimanfaatkan untuk memberi pentas kepada kreativiti tempatan. Apabila karya kanak-kanak dipersembahkan pada fasad sebuah bangunan dan dinikmati oleh masyarakat, ia menunjukkan bahawa ruang komersial juga boleh menjadi ruang yang meraikan bakat, cerita dan identiti setempat. Terang Kentara turut membuka dimensi baharu kepada pengalaman di GM Klang, dan kami mahu terus memperkenalkan lebih banyak program, tarikan serta kolaborasi kreatif yang memberi sebab baharu kepada pengunjung untuk datang dan kembali semula,” katanya.
“Selaku duta pelancongan Klang, kami mahu GM Klang turut memainkan peranan dalam memperkukuh daya tarikan bandar ini. Klang mempunyai kekuatan warisan dan identiti yang tersendiri, dan pengalaman kontemporari seperti Terang Kentara dapat melengkapkan kekuatan tersebut dengan mencipta sebab baharu untuk masyarakat meneroka Klang, sekali gus merancakkan kunjungan, aktiviti setempat dan ekonomi sekitar,” tambah beliau.
Bagi memeriahkan suasana sepanjang penganjuran, pengunjung turut disajikan dengan deretan trak makanan, bengkel kreatif, aktiviti interaktif, persembahan kebudayaan, serta reruai komuniti. Penganjuran Terang Kentara bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Selangor 2026, selari dengan usaha mengetengahkan Klang dan Selangor melalui gabungan warisan, kreativiti dan pengalaman bandar kontemporari.
Port Seni: Hab kreatif, budaya dan komuniti tempatan
Turut dilancarkan pada malam yang sama ialah Port Seni, sebuah hab kreatif baharu di Pavilion 5, Blok C yang berteraskan konsep Seni, Budaya dan Komuniti. Port Seni diwujudkan sebagai titik temu antara kreativiti, warisan dan perdagangan, menghimpunkan artisan serta usahawan tempatan bersama pilihan hasil seni, kraf dan produk kreatif yang dikurasi bagi mengetengahkan identiti dan keunikan Selangor.
Melangkaui fungsi ruang jualan konvensional, Port Seni menawarkan pengalaman komuniti yang lebih dinamik menerusi siri pameran seni, bengkel interaktif, demonstrasi kreatif dan bazar mingguan bertema.
Bagi artisan dan usahawan kreatif, Port Seni membuka akses kepada khalayak yang lebih luas serta menyediakan ruang untuk memperkenalkan jenama, menguji penerimaan pasaran dan membina kolaborasi baharu. Pada masa yang sama, kehadirannya menambah satu lagi tarikan kepada pengalaman pengunjung di GM Klang dengan membawa elemen seni dan budaya lebih dekat kepada aktiviti perdagangan sedia ada.
“GM Klang telah lama menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pemborong dan peruncit. Melalui Port Seni, kami mahu membawa kekuatan ekosistem tersebut ke sektor kreatif dengan menghubungkan bakat tempatan kepada pasaran dan peluang baharu. Kami melihat potensi besar apabila seni, warisan dan keusahawanan dapat bergerak seiring. Bukan sahaja untuk memperkayakan pengalaman pengunjung, tetapi juga untuk mewujudkan nilai ekonomi yang lebih mampan kepada komuniti kreatif,” kata Chloe Tan.
Pelancaran serentak Terang Kentara dan Port Seni menambah dimensi baharu kepada GM Klang, selari dengan transformasinya sebagai destinasi hibrid yang mempertemukan perdagangan borong dan runcit dengan gaya hidup, seni, pelancongan dan penglibatan komuniti.
Persembahan projection mapping Terang Kentara dibuka kepada orang ramai secara percuma dari 29 Ogos hingga 13 September 2026, dari jam 8.00 malam hingga 10.00 malam di Dataran GM Klang, Bandar Botanik, Klang, manakala hab kreatif Port Seni sedia menyambut pengunjung di Pavilion 5, Blok C.
