Goncang PN, pesona Anwar di Tambun tukar naratif HARAPAN boleh menang

18 Nov 2022 • 4:41 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 18 NOV: Pesona Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertanding di Parlimen Tambun menukar naratif daripada kerusi selamat Perikatan Nasional kepada kerusi boleh menang Pakatan Harapan (HARAPAN).

“Pesona Anwar di Tambun jelas menukar kerusi selamat PN menjadi kerusi boleh menang HARAPAN. Naratif Tambun akan menghantar calon perdana menteri ke Putrajaya mewujudkan keghairahan baharu dalam kalangan pengundi,” menurut firma kaji selidik terkenal Ilham Centre dalam kenyataan hari ini.

Kaji selidik itu menyebut reputasi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakonb sepanjang 14 bulan sebagai perdana menteri dijadikan modal BN sepanjang kempen tetapi pergeseran dalaman menggagalkan usaha beliau sebagai ‘poster boy’.

Mengikut kenyataan tersebut, tindakan Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menukar beberapa calon mencetuskan “tindak balas yang sukar dikawal” sehingga berisiko berlaku sabotaj membabitkan enam kerusi.

Menurut kaji selidik lagi, Ismail didesak membubar parlimen kerana BN dijangka berdepan pilihan raya umum ke-15 dalam keadaan kelebihan berpihak kepada mereka berikutan kejayaan dalam pilihan raya negeri Johor dan Melaka.