
Secara lazimnya semua akaun Google akan menerima storan percuma sebesar 15GB untuk bebas digunakan oleh pemilik bagi menyimpan emel, gambar, video dan dokumen. Storan tanpa had untuk Photos yang diberikan sebelum ini dihentikan sejak 1 Jun 2021. Tetapi Google kini menguji hanya memberikan storan 5GB sahaja pada akaun baharu. Sekiranya pemilik akaun ingin mendapat storan 15GB percuma, nombor telefon pengguna perlu diberikan terlebih dahulu.

Ini disedari oleh u/sungusungu yang berkongsi penemuan beliau di Reddit dua hari lalu. Perubahan terma mendapatkan storan 15GB ini telah dilakukan sejak Mac lalu tetapi baru sahaja disedari. Google belum lagi mengeluarkan mengapa polisi diubah tanpa sebarang notis.
Besar kemungkinan ialah untuk memastikan hanya pemilik akaun yang disahkan boleh menerima storan 15GB. Teknik membuka banyak akaun Google telah digunakan sejak sekian lama untuk mendapatkan storan percuma. Walaupun Google One menawarkan storan lebih besar, tidak semua pengguna mampu membayar kos langganan bulanan yang masih agak mahal.

