Mahkamah Australia hari ini mendapati Google dan Apple bersalah melakukan amalan anti persaingan menerusi Play Store dan App Store. Kedua-dua syarikat gergasi teknologi ini disaman kumpul oleh sebuah firma guaman Australia mewakili pembangun yang terkesan disebabkan polisi kedua-dua stor aplikasi terbesar dunia ini. Nilai pampasan yang perlu diberikan belum diumumkan tetapi dipercayai akan mencecah ratusan juta Dolar Australia.

Google dan Apple didapati menggunakan dominasi pasaran mereka untuk mengurangkan persaingan yang melanggar seksyen 46 akta persaingan dan pengguna Australia. Antara kesalahan yang dilakukan ialah tidak memberikan pilihan membeli aplikasi menerusi stor lain dan melakukan pembayaran alternatif di luar ekosistem mereka sendiri. Keputusan mahkamah Australia ini adalah mirip keputusan mahkamah Amerika Syarikat yang turut mendapati Google melakukan amalan perniagaan secara monopoli.
Dengan keputusan ini, Epic Games terus mengumumkan Epic Games Store akan ditawarkan di Android dan iOS dalam masa terdekat. Kedua-dua aplikasi stor alternatif ini diharamkan daripada Play Store dan App Store. Pengguna Android bernasib baik kerana Epic Games Store boleh dipasang secara sisi.
Google dan Apple mengeluarkan kenyataan rasmi tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah. Google berkata mereka akan menyemak keputusan penuh dan menilai langkah yang akan diambil seterusnya.



