Barisan juri di mahkamah California mendapati Google dan Meta bertanggungjawab menyebabkan ketagihan media sosial. Plaintif berusia 20 tahun dianugerahkan $3 juta (~ RM20 juta) selepas mendakwa YouTube dan Instagram menyebabkan ketagihan sejak beliau masih kecil.
Plaintif mendakwa telah menggunakan YouTube sejak berusia 6 tahun dan Instagram sejak berusia 9 tahun sehingga menyebabkan ketagihan menggunakannya sepanjang hari. Google dan Meta dituduh menggunakan rekaan aplikasi “menarik” pengguna muda seperti garis masa yang boleh ditatal tanpa penghujung, ciri main automatik dan juga notifikasi yang tidak berkesudahan.

Mereka gagal memberi amaran tentang risiko ketagihan walaupun tahu platform mereka berbahaya kepada kanak-kanak. Snap dan TikTok juga pada asalnya disaman tetapi telah menyelesaikan kes di luar mahkamah sebelum perbicaraan bermula.
Keputusan kes ini dijangka mempengaruhi ribuan kes lain terhadap syarikat teknologi di Amerika Syarikat. Ia keputusan yang tidak diingini dua gergasi teknologi di saat beberapa negeri di Amerika Syarikat dan beberapa negara termasuk Malaysia ingin menghalang akses media sosial kepada individu bawah umur.
Meta menyatakan tidak bersetuju dengan keputusan dan sedang menilai pilihan undang-undang. Sementara Google menegaskan terdapat ciri keselamatan terbina dalam aplikasi dan mempertikaikan dakwaan penggunaan berlebihan.
