Google DeepMind dan studio filem A24 mengumumkan kerjasama penyelidikan untuk membangunkan alat kecerdasan buatan (AI) yang kemudian digunakan dalam penerbitan filem di masa depan. Menerusi kerjasama ini, DeepMind melabur $75 juta ke dalam A24 bagi memastikan teknologi AI masa depan dibentuk oleh para pengkarya filem sendiri, dan bukan oleh jurutera atau saintis data seperti yang berlaku sekarang.

Kerjasama jangka panjang merangkumi pelbagai projek kajian dan pembangunan yang akan berkembang dari masa ke masa. DeepMind akan mengintegrasikan teknologi terkini AI terus ke dalam proses penerbitan kandungan di A24. Pengkarya filem A24 pula diberikan akses awal menguji, mengiterasi dan memberi maklum balas secara langsung teknologi yang telah dibangunkan.
A24 ialah studio indie kecil yang menerima pujian kerana menerbitkan filem dengan kos rendah tetapi menerima kutipan panggung yang tinggi serta memenangi pelbagai anugerah berprestij. Antara filem terbitan A24 ialah Backrooms, Midsommar, Everything Everywhere All at Once, Civil War dan The Brutalist.
Penggunaan AI generatif dalam penghasilan filem, siri TV dan karya seni masih menjadi isu sensitif khususnya dalam kalangan penggiat seni. Ini semuanya kerana model-model AI awal menggunakan data serta karya seni tanpa untuk latihan tanpa kebenaran pemegang hak cipta.
Tetapi Microsoft dan Adobe sudah mula mengorak langkah membangunkan model AI yang hanya menggunakan data berbayar tanpa melanggar pemilik hak cipta. Adobe Firefly Foundry misalnya memberikan pemilik IP melatih model AI menggunakan hanya data mereka sahaja. Ini juga pendekatan syarikat AI InterPositive yang ditubuhkan Ben Affleck dengan syarikat telah diambil alih oleh Netflix awal tahun ini.



