Saintis sudah mengetahui sejak berdekad lamanya ikan lumba-lumba “bercakap” antara satu sama lain menggunakan bunyi klik, wisel dan denyutan. Hari ini Google mengumumkan model kecerdasan buatan (AI) DolphinGemma yang dibangunkan bagi membantu saintis memahami perbualan yang dilakukan oleh ikan lumba-lumba.
DolphinGemma dibangunkan menerusi kerjasama Google dengan Georgia Tech dan Wild Dolphin Project. Selain mentafsir perbualan haiwan, ia turut boleh mengalih bahasa manusia ke bahasa ikan lumba-lumba bagi membolehkan komunikasi antara dua spesis mamalia ini.

Model AI ini adalah berasaskan model Gemma yang dibangunkan khusus bagi tujuan kajian sains. Ia mempunyai sekitar 400 juta parameter menggunakan data yang dikumpul oleh Wild Dolphin Project sejak 1985. Model DolphinGemma cukup kecil ia boleh dijalankan menggunakan sebuah Pixel 6 di lapangan oleh penyelidik.
Selepas model dihasilkan, sistem CHAT (Cetacean Hearing Augmentation Telemetry) pula dibangunkan oleh Georgia Tech untuk mengumpul bunyi dan kemudian cuba memahami sama ada ia adalah perbualan. Penyelidik kini menghasilkan bunyi tertentu menggunakan CHAT untuk objek tertentu dengan harapan ikan lumba-lumba boleh mempelajari kosa kata baharu yang tidak wujud sebelum ini. Dalam massa terdekat, peranti Pixel 6 yang digunakan sekarang akan digantikan dengan Pixel 9 yang lebih berkuasa.
Kemampuan berkomunikasi dengan spesis berbeza ialah sains fiksyen yang sebelum ini hanya wujud dalam siri TV. Dalam siri SeaQuest DSV misalnya, manusia sudahpun boleh berkomunikasi dengan ikan lumba-lumba menggunakan peranti yang dipasang pada kepala. Kita juga sudah berjaya mengajar chimpanzee untuk menggunakan bahasa isyarat tetapi bukan menggunakan bahasa chimpanzee itu sendiri. Mungkin dalam masa terdekat, sains fiksyen akan menjadi realiti dengan bantuan AI.
