Google Kini Membenarkan Rakan Mengesahkan Identiti Sekiranya Akaun Anda Dirampas Penggodam

TechnologyDigital
16 Oct 2025 • 4:55 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Saya membuka akaun Google Gmail dua dekad lalu kerana pada waktu tersebut ia memberikan storan besar dan hanya insan yang menerima jemputan boleh menggunakannya. Sedikit demi sedikit akaun yang dibuka pada tahun 2005 ini menjadi tiang seri semua identiti atas talian daripada akaun media sosial ke log masuk perkhidmatan penstriman dan juga perbankan. Jika akaun dirampas, semua aktiviti atas talian saya akan lumpuh.

image is not available

Maka kehilangan akses kepada akaun Google ialah mimpi ngeri dunia moden. Google kini memperkenalkan ciri Recovery Contacts yang membenarkan anda melantik rakan rapat atau sanak saudara sebagai insan yang boleh mengesahkan identiti sekiranya akaun dirampas oleh penggodam. Untuk menggunakan ciri ini, hanya nombor telefon individu yang dilantik sahaja diperlukan.

image is not available

Selain itu Google juga memperkenalkan ciri mengambil semula akaun dirampas menggunakan Sign in with Mobile Number pada peranti Android. Ciri ini ialah untuk pengguna yang kehilangan akses kepada akaun selepas peranti dicuri misalnya. Untuk log masuk semula pada peranti baharu, hanya nombor telefon diperlukan dengan nombor ini perlu disahkan sebagai nombor telefon utama terlebih dahulu.