Setelah 20 tahun Google Maps diperkenalkan, kerajaan Korea Selatan akhirnya akan membenarkan aplikasi tersebut untuk memetakan kawasan-kawasan di negara tersebut, dengan beberapa syarat tambahan yang ketat.
Jika anda ke Korea Selatan, anda akan sedar bahawa sehingga hari ini, aplikasi Google Maps tidak hadir dengan geolokasi kawasan yang tepat. Ini adalah kerana kerisauan tentang ketirisan maklumat tentang lokasi-lokasi ketenteraan Korea Selatan yang dilaporkan sulit, dan ini menyebabkan banyak aplikasi pemetaan di luar negara, termasuklah Google Maps untuk tidak hadir dengan pemetaan yang khusus.

Perkara ini nampaknya akan berubah kerana kerajaan Korea Selatan telah akhirnya bersetuju untuk membolehkan Google Maps memetakan Korea Selatan secara lebih terperinci, membolehkan pengguna untuk bukan sahaja menggunakan Google Maps, tetapi juga pemetaan melalui Google Earth juga.
Satu syarat ketat yang diwajibkan oleh kerajaan Korea Selatan ialah Google mesti mengaburi lokasi-lokasi tertentu seperti lokasi ketenteraan dan keselamatan di seluruh negara tersebut. Bukan itu sahaja, fungsi pemetaan koordinat juga akan dipadamkan apabila Google Maps digunakan di Korea Selatan untuk mengurangkan kebarangkalian mana-mana lokasi dijadikan sasaran serangan, khususnya oleh Korea Utara.
Di Korea Selatan, aplikasi pemetaan secara lazimnya menggunakan peta yang telah diiktiraf oleh pihak kerajaan sebelum ia dibenarkan untuk digunakan untuk khalayak ramai. Buat masa ini ia tidak pasti lagi jika Google akan menurut arahan sama, atau jika mereka akan memetakan jalan-jalan dan lokasi-lokasi di negara tersebut dengan sendiri.

