Google Gemini adalah teknologi kecerdasan buatan generatif Google tersendiri yang cukup berkuasa. Modelnya dipecahkan ke pelbagai kategori seperti Advance untuk berbayar atau Nano untuk pemprosesan dari dalam peranti melalui Android AICore. Gemini Nano membolehkan ciri AI generatif menarik diproses dengan lebih pantas. Cuma ia terhad kepada aplikasi terpilih. Terbaru, Google membuka akses AI Edge SDK untuk semua pembangun aplikasi Android.

Dengan akses kepada SDK ini, pembangun kini boleh mengintegrasikan ciri AI generatif pada aplikasi masing-masing dan memanfaatkan Android AICore berserta Gemini Nano yang ada pada peranti Samsung atau Pixel untuk memastikan ciri AI boleh diproses bukan sahaja dengan lebih pantas tetapi tanpa akses Internet juga ia boleh berfungsi. Antara ciri yang boleh dimanfaatkan adalah menulis semula teks, membalas teks dengan pintar, membantu membaca dan membaiki ejaan atau tatabahasa yang salah serta ciri merumuskan sesuatu kandungan.

Ini bermakna akan datang, aplikasi-aplikasi kegemaran anda boleh mempunyai ciri yang lebih pintar. Mana tahu dalam WhatsApp secara terbina boleh menawarkan ciri Galaxy AI untuk semua peranti Android. Mungkin aplikasi permua boleh mempunyai pengulas menyampaikan kejayaan atau kegagalan ketika bermain di hujung video berdasarkan skor yang direkod. Sama-sama kita nantikan masa depan aplikasi biasa diintegrasikan dengan AI generatif.
