Google Perkenalkan Personal Intelligence Dalam Aplikasi Gemini Di Malaysia

LocalTechnology
15 Apr 2026 • 3:06 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Google Perkenalkan Personal Intelligence Dalam Aplikasi Gemini Di Malaysia

Google Perkenalkan Personal Intelligence Dalam Aplikasi Gemini Di Malaysia

Pada awal tahun ini, Google telah memperkenalkan ciri Personal Intelligence di Amerika Syarikat bagi menunjukkan bagaimana Gemini dapat memudahkan kehidupan dengan memahami keutamaan pengguna. Kini, pengalaman yang lebih diperibadikan ini mula diperkenalkan secara rasmi kepada pengguna di Malaysia.

Personal Intelligence menghubungkan maklumat daripada aplikasi seperti Gmail dan Google Photos secara selamat untuk menjadikan Gemini lebih berguna. Pengguna mempunyai kawalan penuh untuk memilih aplikasi yang ingin disambungkan, termasuk Gmail, Photos, YouTube dan Search, dengan proses tetapan yang ringkas serta selamat.

Ciri ini menonjol melalui dua keupayaan utama, iaitu kebolehan menganalisis maklumat daripada pelbagai sumber dan mendapatkan butiran spesifik daripada e-mel atau foto untuk menjawab pertanyaan. Ia juga mampu menggabungkan teks, gambar dan video bagi memberikan jawapan yang lebih relevan dan diperibadikan.

Image from: Google Perkenalkan Personal Intelligence Dalam Aplikasi Gemini Di Malaysia

Sebagai contoh, apabila merancang perjalanan ke Pulau Pinang semasa cuti sekolah, maklumat tempahan seperti tiket atau hotel mungkin tersimpan di pelbagai platform digital.

Apabila pengguna bertanya “apakah rancangan perjalanan saya ke Pulau Pinang?”, Gemini bukan sekadar membuat carian biasa. Ia boleh merujuk Gmail untuk menyusun butiran tempahan dalam bentuk garis masa yang jelas. Dengan sokongan daripada Photos, ia juga boleh mendapatkan semula tangkapan skrin peta atau idea cenderamata yang disimpan (save). Malah, Gemini boleh mencadangkan lokasi nasi kandar berdasarkan video YouTube yang pernah ditonton, sekali gus menjimatkan masa tanpa perlu menyemak pelbagai aplikasi.

Bagaimana 'Personal Intelligence' Berfungsi dan Pendekatan Privasi pengguna

Personal Intelligence dibangunkan dengan penekanan terhadap keselamatan data. Ciri ini tidak diaktifkan secara automatik dan pengguna bebas memilih aplikasi yang ingin disambungkan serta boleh mematikannya pada bila-bila masa. Data hanya digunakan untuk memenuhi permintaan pengguna, tanpa perlu dihantar ke platform lain kerana ia telah disimpan secara selamat dalam ekosistem Google.

Gemini turut menunjukkan sumber maklumat yang digunakan bagi setiap jawapan supaya pengguna boleh mengesahkannya. Jika terdapat ketidaktepatan respons, pengguna boleh membetulkan maklumat pada waktu yang sama tersebut atau menjana semula jawapan tanpa elemen personalisasi. Mod perbualan sementara juga disediakan untuk penggunaan tanpa penyimpanan data peribadi.

Image from: Google Perkenalkan Personal Intelligence Dalam Aplikasi Gemini Di Malaysia

Google turut menetapkan garis panduan bagi topik sensitif. Gemini mengelakkan andaian berkaitan data peribadi seperti kesihatan, kecuali jika diminta secara langsung oleh pengguna.

Bagi memastikan keselamatan, Gemini tidak dilatih secara langsung menggunakan kandungan daripada Gmail atau Google Photos. Latihan model hanya melibatkan data terhad seperti arahan pengguna dan respons sistem, selepas melalui proses penapisan bagi melindungi maklumat peribadi.

Dalam konteks contoh perjalanan tadi, maklumat seperti tempahan, foto atau video tidak digunakan untuk melatih model, sebaliknya hanya dirujuk untuk memberikan jawapan yang tepat. Sistem ini direka untuk memahami cara mendapatkan maklumat apabila diminta, bukan untuk menyimpan atau mempelajarinya secara kekal.

Pengguna juga boleh mengawal tetapan pada bila-bila masa, termasuk memutuskan sambungan aplikasi Google atau memadam sejarah perbualan.

Bantu untuk Tambahbaik

Walaupun versi beta ini telah diuji secara meluas, masih terdapat kemungkinan ralat seperti maklumat kurang tepat atau personalisasi berlebihan. Pengguna digalakkan memberi maklum balas sekiranya perkara ini berlaku.

Gemini juga mungkin menghadapi cabaran dalam memahami konteks tertentu seperti perubahan hubungan atau minat pengguna. Sebagai contoh, kekerapan foto di padang golf mungkin disalah tafsir sebagai minat, walaupun sebenarnya ia berkaitan faktor lain. Dalam situasi ini, pengguna boleh membetulkan maklumat tersebut secara langsung.

Penambahbaikan terhadap aspek ini masih dijalankan secara berterusan, termasuk penyelidikan, cabaran semasa bagi meningkatkan ketepatan dan kefahaman konteks.

Image from: Google Perkenalkan Personal Intelligence Dalam Aplikasi Gemini Di Malaysia

Cara Aktifkan Personal Intelligence dengan Connected Apps

Ciri ini diperkenalkan secara berperingkat kepada akaun Google peribadi bagi pelanggan Google AI Plus, Pro dan Ultra yang layak, dan dijangka akan diperluaskan kepada pengguna percuma dalam beberapa minggu akan datang. Setelah diaktifkan, ia boleh digunakan di Web, Android dan iOS serta menyokong semua model dalam pilihan model Gemini.

Jika notifikasi tidak dipaparkan pada skrin utama Gemini, pengguna boleh mengaktifkannya secara manual melalui tetapan dengan langkah berikut:
- Buka aplikasi Gemini dan tekan Settings
- Pilih Personal Intelligence
- Pilih Connected Apps (Gmail, Photos dan lain-lain)