Google Perlihatkan Project Astra – Ke Arah Pembantu Maya Seumpama JARVIS Untuk Iron Man, Boleh Mengenal-Pasti Persekitaran

TechnologyDigital
15 May 2024 • 6:52 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Google hari ini memperlihatkan salah satu prototaip yang sedang dibangunkan mereka, dinamakan sebagai Project Astra. Project Astra ini membawa pembantu maya setapak kehadapan lagi, dan bukan sekadar beroperasi menggunakan input teks semata-mata – sebaliknya turut melibatkan penggunaan video, audio, selain turut mengenal-pasti persekitaran pengguna.

Melalui demo yang dipertontonkan, Google menggunakan sebuah telefon pintar dan keupayaan kameranya untuk berinteraksi dengan persekitaran. Pembantu maya berkenaan seterusnya memberikan pelbagai input serta-merta dengan pantas seumpama sedang berinteraksi dengan manusia lain.

Project Astra ini juga turut boleh mengingat beberapa perkara, dan menjawab apabila anda bertanyakan kepadanya. Sebagai contoh, anda boleh bertanyakan dimanakah anda meletakkan cermin mata, dan sebagainya.

Sokongan Project Astra ini memperlihatkan pelbagai kemungkinan pada masa akan datang – seperti boleh diintegrasikan pada cermin mata pintar pintar, atau mungkin pada fon telinga dengan kamera – sekaligus membolehkan setiap pengguna mempunyai “JARVIS” masing-masing.

Google menyatakan Project Astra mungkin dilancarkan pada Gemini kelak pada tahun 2024 ini.