Google dan Epic Games kini dalam perbicaraan saman menyaman berikutan aplikasi Fortnite diharamkan daripada Play Store. Pelbagai rahsia industri telahpun didedahkan seperti Google membayar Samsung untuk menggunakan ekosistem mereka, Spotify diberikan pelepasan potongan 15% pada setiap pembayaran dan berbilion yang dibayar kepada Apple untuk kekal menggunakan Google Search.

Terkini didedahkan pula Google pernah mempertimbangkan untuk mengambil alih Epic Games pada tahun 2018. Ia dilakukan sebelum Google Stadia dilancarkan dengan pada peringkat awal mereka ingin melabur $2 bilion untuk memegang 20% saham Epic Games. Google turut ingin melakukan kerjasama dengan Tencent untuk membolehkan Epic Games dimiliki sepenuhnya.
Tetapi rancangan ini telahpun dibatalkan kerana pelbagai rintangan yang mungkin dihadapi sebelum pembelian dapat dimuktamadkan. Kita kini di tahun 2023 dan Google telah menamatkan Stadia kerana gagal mendapat sambutan sementara Epic Games mengalami masalah kewangan. Landskap dunia permainan video mungkin berbeza sekiranya Google membeli Epic Games.
- Sumber
- The Verge
