
Apple menggantikan Touch ID dengan Face ID yang mengimbas wajah secara 3D bermula dengan iPhone X pada tahun 2017. Sehingga kini hanya sebilangan kecil peranti Android seperti Honor dan Huawei memberikan ciri yang sama. Android Authority melaporkan Google Pixel 11 akan akhirnya mempunyai ciri setanding dengan dibangunkan dengan nama Project Toscana.

Keunikan Project Toscana ialah ia hanya memerlukan satu kamera swafoto di hadapan tidak seperti Face ID yang mengambil ruang besar pada dahi iPhone. Dalam ujian yang telah dilalukan, Project Toscana berfungsi sepantas Face ID dan boleh digunakan dalam situasi gelap dan juga terang. Selain pada Pixel, Project Toscana juga akan digunakan pada Chromebook.
Masih tidak diketahui bagaimana Project Toscana berfungsi dengan hanya satu kamera dan sama ada pemancar infra merah disorokkan di bawah skrin. Terdapat ura-ura iPhone sempena ulang tahun ke-20 kelak akan turut akan mempunyai ciri yang serupa.

