Google Pixel bakal masuki Malaysia melalui Urban Republic?

Digital
24 Jul 2024 • 8:40 AM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Sehingga ke hari ini, masih belum ada satu pun peranti Google Pixel masuki Malaysia secara rasmi walaupun siri itu sudahpun berusia 8 tahun dalam tahun 2024 ini. Namun, semuanya mungkin berubah tak lama lagi kerana terdapat perkhabaran yang akan ada penjualan rasmi dalam pasaran kita.

Kategori Google muncul dalam senaraian Urban Republic

Pundit terkenal, Xavier Naxa, berkongsikan yang terdapat kategori Google dalam senaraian telefon yang ditawarkan di laman web Urban Republic bersama nama-nama lain seperti Apple, Samsung, Huawei, Honor, Xiaomi, Oppo, Vivo, dan Nothing.

Walaupun tiada sebarang produk dimasukkan di bawah kategori itu, jelas menunjukkan niat Urban Republic ingin menawarkan telefon berjenama Google.

image is not available

Mengetahui perkara tersebut, pihak kami lantas menghubungi Urban Republic bagi mendapatkan kepastian tentang keberadaan Google Pixel di Malaysia. Berita baiknya, pihak mereka mengesahkan yang akan ada Google Pixel masuki Malaysia, namun model apa dan bila masih belum dapat dikongsikan. Mereka meminta pengguna untuk terus mengekori mereka secara rapat untuk sebarang perkembangan terbaharu.

image is not available

Google Pixel 9 akan dilancar tak lama lagi

Sekiranya Google ingin mengumumkan Malaysia sebagai pasaran yang akan terima Pixel, besar kemungkinan ia akan dilakukan di acara pelancaran Google Pixel 9 yang akan berlangsung pada 14 Ogos 2024, 1 pagi waktu Malaysia. Buat masa ini, pasaran terdekat untuk kita dapatkan Google Pixel adalah Singapura.

image is not available

Namun, jangan anda jangkakan harga yang mampu milik untuk telefon ini. Google Pixel 8 Pro dalam pasaran negara jiran kita ditawarkan pada harga bermula SGD1,549 (~RM5,380). Ia separas harga permulaan iPhone 15 Pro (RM5,499) dan juga mahal sedikit daripada Samsung Galaxy S24+ pada harga bermula RM4,599.