
Google Pixel Drop baharu boleh dimuat turun pemilik peranti Pixel hari ini dengan beberapa ciri baharu yang menarik. Pertama sekali peranti kini menerima ciri ringkasan pelbagai mesej yang diterima menerusi aplikasi chat. Ringkasan ini membolehkan maklumat yang ingin disampaikan terus difahami tanpa membaca bebenang chat yang panjang.

Pada bulan Disember kelak, Pixel akan menerima pula ciri tidak memberikan prioriti kepada notifikasi yang kurang penting. Pengguna diberikan pilihan meletakkan notifikasi aplikasi mana yang akan diberikan kepentingan. Di Amerika Syarikat, peranti juga boleh mengesan kandungan chat berbentuk penipuan dengan ia kemudiannya akan dilabel. Ciri ini merentasi pelbagai aplikasi chat yang dipasang dalam peranti.

Dalam Google Photos pula, “Help me edit” membolehkan gambar disunting menggunakan prom. Elemen boleh dimasukkan atau dibuang mengikut kehendak pengguna. Sekali lagi ciri ini nampaknya hanya diberikan kepada pengguna di Amerika Syarikat terlebih dahulu.
Ciri pengesanan serta penapisan panggilan berunsur penipuan Scam Detection juga kini dikembangkan ke Australia, Kanada, U.K, Ireland dan Jepun. Seterusnya ciri Call Notes yang mengambil transkrip panggilan telefon dan kemudian menghasilkan ringkasan juga dikembangkan ke lima negara tadi.
Peranti Pixel juga boleh memuat turun pek tema filem ‘Wicked: For Good’ yang menawarkan gambar latar, ikon, audio sistem dan GIF beertemakan filem ini. Pemilik diberikan tiga tema iaitu For Good, Glinda an Elphaba.

Akhir sekali Google Maps juga mempunyai mod Power Saving yang mengurangkan penggunaan bateri. Antaramuka dan warna diringkaskan dalam mod yang menurut Google boleh memanjangkan hayat bateri sehingga 4 jam.
