Google Sahkan Komitmen Pelaburan AS$2 Bilion Ke Malaysia - PM

Business & Finance
30 May 2024 • 12:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar Facebook

KUALA LUMPUR - Syarikat teknologi utama dunia, Google mengesahkan komitmen pelaburan berjumlah AS$2 bilion (RM9.4 bilion) ke Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengumuman pelaburan langsung asing ini jelas satu berita baik buat negara.

Menurut beliau, pelaburan itu bagi menyokong agenda kerajaan dalam mempercepat dan melicinkan transformasi digital negara.

image is not available
Anwar berkata pengumuman ini jelas satu berita baik buat negara.– Gambar fail

“Pelaburan ini dijangka membawa kesan berganda kepada ekonomi Malaysia sekitar AS$3.2 bilion (RM15 bilion) dan pewujudan sebanyak 26,500 pekerjaan menjelang 2030,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Anwar berkata, pelaburan terkait pusat data yang pertama bagi Google di Malaysia dan pembangunan rantau Google Cloud ini adalah bukti bahawa perencanaan kerajaan yang jelas selain kekuatan ekonomi dan sumber negara menjadi tarikan kepada pelabur-pelabur sedia ada dan baharu.

“Nescaya, ini meletakkan Malaysia sebagai antara negara utama dalam penggunaan dan perkhidmatan sokongan bagi perkhidmatan berteraskan teknologi digital.

“Dalam pertemuan secara maya bersama pengurusan kanan Google pada 6 Mei lalu, saya telah tekankan bahawa selain dukungan kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara umum, kerjasama strategik perlu ditumpukan dalam bidang pendidikan, kesihatan dan pertanian,” katanya.

Aspek ini jelas Perdana Menteri, penting bagi memastikan Malaysia dapat memanfaatkan kemahiran dan pendekatan berteraskan teknologi terkini.

image is not available
Alphabet Inc. - Gambar Finpedia

Bloomberg memetik kenyataan Ketua Pegawai Kewangan Alphabet Inc, Ruth Porat hari ini melaporkan, pengumuman itu adalah perancangan pelaburan terbesar Google di rantau Asia Tenggara. - Getaran, 30 Mei 2024