Fitbit by Google kini digelar sebagai Google Fitbit. Jenama produk penjejak kesihatan ini telah diambil-alih oleh Google dan keluar daripada pasaran Malaysia. Walaupun begitu, jenama ini masih aktif dalam mengeluarkan produk baharu. Antara yang terkini adalah Pixel Watch 2 dengan integrasi Fitbit.
Oktober tahun lepas, Google menyatakan Fitbit akan menyokong chatbot AI yang boleh membantu pengguna memahami lagi data-data kesihatan dan kecergasan yang telah direkodkan. Tahun ini Google mengesahkan yang AI ini akan dikuasakan dengan model bahasa raya Personal Health LLM. Ciri ini akan disertakan melalui Fitbit Labs dan terhad kepada pengguna Fitbit Premium sahaja.

Chatbot AI Fitbit ini boleh menganalisa semua data dan diterjemahkan kepada penjelasan yang lebih mudah faham. Ia seakan pengguna bertanyakan soalan kepada pelatih dalam gim sebenar. Dengan adanya ciri ini, pengguna turut boleh memahami secara lebih mendalam apakah langkah seterusnya boleh dilakukan untuk kekal sihat. Buat masa ini masih tidak pasti bila ciri ini akan disertakan dan adakah ia terhad kepada produk Fitbit sahaja atau Pixel Watch turut boleh menggunakannya. Sama-sama kita nantikan.
- Sumber
- Android Authority
