Google Translate Menterjemah 1 Trilion Perkataan Setiap Bulan

WorldTechnology
4 May 2026 • 4:24 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Siapa sahaja yang tidak pernah menggunakan Google Translate, bukan? Hampir semua orang pernah, meskipun hanya untuk menterjemah soalan-soalan mudah. Namun, tahukah anda bahawa sekitar 1 trilion perkataan diterjemah setiap bulan? Inilah antara trivia menarik yang dikongsi oleh Google sempena ulang tahun ke-20 Google Translate.

Image from: Google Translate Menterjemah 1 Trilion Perkataan Setiap Bulan

Menurut Google, orang ramai menterjemah kira-kira 1 trilion perkataan setiap bulan dan frasa paling kerap diterjemah ialah ungkapan ringkas yang mencerminkan hubungan manusia seperti “Thank you”, “How are you?”, “I love you”, “Hello” dan “Please”. Aplikasi juga kini digunakan oleh lebih 1 bilion pengguna setiap bulan yang menjadikannya salah satu alat terjemahan paling meluas di dunia. Pada masa sama, Google Translate turut menyokong hampir 250 bahasa serta lebih 60,000 pasangan bahasa termasuk bahasa asal masyarakat pribumi.

Image from: Google Translate Menterjemah 1 Trilion Perkataan Setiap Bulan

Penggunaan harian turut menunjukkan bahawa ramai menggunakan Google Translate untuk belajar bahasa baharu dengan 1/3 pengguna menjadikannya sebagai alat pembelajaran. Hampir separuh pengguna mingguan pula memanfaatkan ciri “Practice” untuk latihan bercakap manakala lebih sepertiga sesi Live translate berlangsung lebih lima minit, lalu membuktikan adanya perbualan yang lebih bermakna.

Image from: Google Translate Menterjemah 1 Trilion Perkataan Setiap Bulan

Terdapat juga beberapa ciri baharu yang semakin mendapat perhatian. Antaranya ialah Pronunciation practice iaitu latihan sebutan dengan maklum balas segera yang buat masa ini tersedia di beberapa negara terpilih sahaja. Seterusnya, ciri Live translate melalui fon kepala membolehkan pengguna mengekalkan nada dan irama suara asal ketika berkomunikasi, sekali gus menjadikan perbualan lebih semula jadi dan mudah difahami.

Image from: Google Translate Menterjemah 1 Trilion Perkataan Setiap Bulan

Sementara itu, Visual Translation dengan Google Lens memudahkan pengguna memahami menu atau papan tanda ketika melancong manakala Circle to Search di Android membolehkan teks atau imej ditanda untuk terjemahan segera. Tidak ketinggalan, Google Translate juga boleh digunakan tanpa sambungan internet dengan memuat turun bahasa pilihan bagi menjadikannya lebih praktikal ketika berada di kawasan tanpa liputan.

Google turut berkongsi beberapa fakta menarik lain termasuklah pasangan bahasa paling popular iaitu Inggeris–Sepanyol diikuti oleh Inggeris–Indonesia, Portugis, Arab, Turki serta beberapa bahasa India seperti Hindi, Bengali dan Malayalam. Menariknya, emoji kini dianggap sebagai sejenis bahasa global dengan permintaan terjemahan ke bentuk emoji semakin meningkat.

View Original Article