GoTo Dan Indosat Memperkenalkan Model Bahasaraya Sahabat-AI Dalam Bahasa Indonesia

TechnologyDigital
14 Nov 2024 • 1:27 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Gojek Tokopedia ataupun GoTo, gabungan konglomerat teknologi terbesar di Indonesia bersama-sama dengan syarikat telekomunikasi Indosat Ooredoo Hutchison baru-baru ini telah memperkenalkan model bahasaraya (LLM) AI mereka tersendiri yang dinamakan Sahabat-AI. Keunikan model ini ialah ia hadir didalam Bahasa Indonesia.

image is not available

Sahabat-AI dilihat akan membolehkan syarikat-syarikat di negara tersebut untuk membina pelbagai perkhidmatan, aplikasi dan perisian AI berdasarkan Bahasa Indonesia dan pelbagai dialek-dialek tempatan yang lain, khususnya apabila kepulauan tersebut hadir dengan kira-kira 700 bahasa dan dialek berbeza.

Ia dikatakan mampu memahami pelbagai konteks tempatan di negara tersebut, dan akan terus dibangunkan untuk membolehkan pembangun-pembangun teknologi AI di negara tersebut tidak perlu berhijrah ke kawasan bandar. Ia juga membolehkan perkhidmatan AI yang dibina untuk lebih mudah difahami oleh penduduk tempatan dan tiada isu dalam tidak faham penggunaan bahasa atau konteks dalam perkhidmatan.

Pembangunan teknologi model bahasaraya Sahabat-AI ini dibangunkan dengan kerjasama AI Singapore dan juga Tech Mahindra dari India, yang menggunakan perisian NVIDIA AI Enterprise dan NVIDIA NeMo, iaitu teknologi yang membantu dalam pembangunan platform teknologi AI generatif dan juga model bahasaraya.

image is not available

Bukan itu sahaja, ia dilaporkan juga bahawa beberapa universiti dan kumpulan media di Indonesia telah membantu dalam pengoptimasian Sahabat-AI, seperti penggunaan bahasa dan dialek yang berbeza mengikut lokasi.

Buat masa ini, Sahabat-AI masih berada dalam fasa ujian beta, akan tetapi jika anda ke laman web mereka, sebuah chatbot telah tersedia dimana anda boleh menguji kebolehan model bahasaraya tersebut.